NIOSH sedia modul khusus latih pemandu kenderaan berat

SHAH ALAM – Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menyatakan kesediaan untuk membantu memperkukuh latihan pemandu kenderaan berat dalam usaha mengurangkan insiden kemalangan maut.
Ia susulan nahas membabitkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan sebuah lori yang meragut sembilan nyawa anggota FRU di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Selasa lalu.
Naib Pengerusinya, Manivanan Gowin berkata, tragedi itu jelas menunjukkan keperluan mendesak untuk menyelaraskan segala inisiatif berkaitan keselamatan jalan raya selaras dengan kehendak di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022.
Menurut beliau, NIOSH bersedia melatih pemandu kenderaan berat melalui modul khusus yang dibangunkan oleh tenaga pakar dan pemain industri, dengan mengambil kira cabaran serta keperluan semasa golongan pemandu.
“Program di bawah modul latihan Pemandu Berhemah dan Selamat (SDDP) memberi penekanan kepada pelbagai aspek termasuk teknik pemanduan selamat, perundangan serta penjagaan kenderaan bagi meningkatkan kesedaran dan pencegahan kemalangan dalam kalangan pemandu.
“Modul ini telah dilaksanakan oleh beberapa syarikat pengendali bas dan kenderaan berat bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pekerja mereka berkaitan keselamatan jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Manivanan berkata, NIOSH berharap lebih banyak agensi kerajaan dan syarikat swasta akan mengambil inisiatif melaksanakan latihan SDDP secara berterusan.
Tambah beliau, institusi itu juga bersedia membantu pihak terlibat melaksanakan audit keselamatan serta menggalakkan pelaksanaan kaedah Pengenalpastian Bahaya, Penilaian Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).
“HIRARC merupakan kaedah sistematik yang digunakan untuk membantu majikan dan pekerja mengenal pasti bahaya, menilai tahap risiko dan melaksanakan langkah kawalan bagi menjaga keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
“Dengan mengamalkan HIRARC, semua pihak dapat memainkan peranan penting dalam memastikan persekitaran kerja kekal selamat dan sihat, di samping memastikan pematuhan terhadap undang-undang sedia ada,” katanya.
Manivanan turut menegaskan bahawa setiap majikan, di bawah undang-undang, bertanggungjawab memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja sepanjang waktu bekerja, termasuk memastikan kenderaan diselenggara dengan baik dan pemandu menerima latihan mencukupi.
“NIOSH percaya bahawa pelaburan dalam latihan, pendidikan dan penerapan budaya keselamatan secara proaktif adalah kunci untuk menyelamatkan nyawa serta menjamin kebajikan warga kerja di seluruh negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada seluruh keluarga serta rakan-rakan anggota FRU yang terkorban dan cedera dalam insiden tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!