Mayat reput dalam kereta: Polis temui bekas kaca kesan pembakaran arang

MELAKA - Mayat seorang lelaki tempatan ditemukan dalam keadaan reput di dalam sebuah kereta bersama sebuah bekas kaca yang mengandungi kesan pembakaran arang, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian di kawasan tempat letak kereta Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini jam 1.48 petang.
Menurutnya, maklumat awal diterima daripada orang awam yang terhidu bau busuk serta melihat kenderaan jenis Nissan Almera dikerumuni lalat di kawasan parkir berkenaan.
“Pasukan polis dari Balai Polis Ayer Keroh bersama anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Melaka Tengah, Pasukan Forensik D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah digerakkan ke lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun ditemui meninggal dunia di tempat duduk pemandu dalam keadaan mayat telah mereput,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata, pegawai perubatan Hospital Melaka yang hadir ke lokasi telah mengesahkan kematian mangsa sebelum mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi tujuan bedah siasat.
“Setakat ini, siasatan awal tidak mendapati sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai Laporan Kematian Mengejut (SDR).
“Bagaimanapun, siasatan lanjut dari pelbagai sudut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya.
Christopher menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian itu demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan penemuan mayat berkenaan oleh orang awam yang pada awalnya menyangka bau busuk tersebut berpunca daripada bangkai kucing.
Saksi kejadian memaklumkan mereka berada di lokasi untuk makan tengah hari dan selepas selesai makan, ternampak sebuah kereta dengan tayar kanan hadapan pancit.
Apabila menjengah ke dalam kenderaan itu, mereka mendapati mangsa berada di kerusi pemandu dalam keadaan kulit sudah teruk.
Ringkasan AI
- Mayat seorang lelaki tempatan ditemukan reput dalam kereta di MITC Ayer Keroh
- Pihak polis terima laporan dari orang awam yang terhidu bau busuk
- Pasukan dari Balai Polis Ayer Keroh dan unit forensik siasat kejadian
- Pegawai perubatan sahkan kematian sebelum mayat dihantar untuk bedah siasat
- Siasatan awal tidak dapati unsur jenayah, kes diklasifikasikan sebagai Laporan Kematian Mengejut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

