Nahas FRU: Tindakan tegas jika ada unsur kecuaian

SHAH ALAM - Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas terhadap pemandu serta pemilik syarikat lori membawa muatan batu yang terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik–Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak pada Selasa, sekiranya terdapat bukti jelas ia disebabkan kecuaian atau kegagalan menyelenggara kenderaan berat itu dengan baik.
Pakar automotif, Hezeri Samsuri berkata, pendekatan sedemikian sudah lama diamalkan di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah sebagai langkah pencegahan dan memberi pengajaran kepada semua pihak terlibat dalam industri pengangkutan.
Menurutnya, hanya melalui kaedah tersebut pemilik syarikat akan lebih berhati-hati dalam memilih pemandu dan menitikberatkan aspek penyelenggaraan kenderaan perdagangan.
“Pihak berkuasa seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup juga perlu memastikan semua alat ganti kenderaan perdagangan adalah tulen dan mematuhi piawaian kerajaan serta UN ECE (Suruhanjaya Ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Eropah).
“Memang benar kenderaan baharu perlu menepati piawaian tersebut tetapi pasaran alat ganti sekarang terlalu bebas.
"Ada yang guna komponen tiruan semata-mata nak jimat kos dan maksimumkan keuntungan walaupun nyawa pengguna jalan raya lain menjadi taruhan,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Hezeri menyifatkan insiden kemalangan ngeri yang meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) itu sebagai sangat menyedihkan.
“Setiap kali berlaku kemalangan maut, skrip sama dimainkan – tubuh pasukan khas, jalankan siasatan rapi tapi apabila isu reda hasil siasatan pun sepi begitu sahaja.
“Contohnya, tragedi bas pelancong yang meragut 27 nyawa warga Thailand di Kilometer 15 Jalan Cameron Highlands–Simpang Pulai pada 2010, sehingga kini masih misteri walaupun badan siasatan bebas ditubuhkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!