Nahas FRU: Perbaiki kelemahan sistematik, elak kejadian sama berulang

TRAGEDI kemalangan maut yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan baru-baru ini bukan sahaja meruntun emosi masyarakat, malah menuntut perhatian serius daripada pihak berkuasa.
Pemandu lori yang terlibat dalam insiden tersebut kini direman selama empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, perintah reman terhadap lelaki berusia 45 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Naidatul Athirah Azman di Mahkamah Majistret Teluk Intan.
Ujar beliau, seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda maksimum tidak melebihi RM50,000, serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, jika disabitkan kesalahan.
Perkara yang lebih mendesak kini ialah bagaimana tragedi sebegini dapat dielakkan daripada berulang.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Sungai Lampam Kanan, Mohammed Nadzri Mat Taib berkata, antara faktor yang dipercayai menyumbang kepada kemalangan ialah keadaan jalan yang sempit dan ketiadaan lampu isyarat di lokasi kejadian.
Menurut Mohammed Nadzri, keadaan itu diburukkan lagi dengan laluan tersebut yang sering digunakan oleh lori membawa muatan berat seperti pasir dan batu.
Maka tidak hairanlah sekiranya jalan berkenaan menjadi kawasan berisiko tinggi.
Justeru, penilaian semula terhadap infrastruktur dan pengurusan trafik di kawasan luar bandar perlu diberi keutamaan segera oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Dalam masa terdekat, satu siasatan menyeluruh perlu dijalankan bukan hanya terhadap pemandu lori, tetapi juga terhadap ciri-ciri keselamatan jalan terbabit.
Sudah tentu hasil siasatan berkenaan akan menjadi asas penting dalam mencadangkan penambahbaikan prasarana dan undang-undang lalu lintas.
Pada masa sama, kerajaan juga perlu mewujudkan sistem pemantauan lebih ketat terhadap kenderaan berat yang menggunakan laluan kampung atau jalan sempit yang tidak sesuai untuk muatan berlebihan.
Apa yang pasti, insiden berkenaan menuntut pendekatan menyeluruh daripada semua pihak. Bukan sekadar mengenakan hukuman kepada pemandu yang cuai, tetapi juga memperbaiki kelemahan sistemik yang membolehkan kemalangan sedemikian berlaku.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!