Tidak timbul isu rampasan, tanah itu bukan milik individu - ADUN Paka

DUNGUN – Projek Tanaman Kelapa Pandan di Tebing Tembah di sini, yang dibangunkan sejak hampir dua dekad lalu sebagai kawasan pertanian, bukanlah milik individu sebaliknya diusahakan di atas tanah kerajaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Datuk Satiful Bahri Mamat berkata, projek tersebut pada asalnya melibatkan kira-kira 40 lot tanah dan dibangunkan secara berperingkat dengan bantuan Jabatan Pertanian yang membekalkan benih serta keperluan pertanian lain.
Menurutnya, pada tahun 2008, para peserta projek telah memohon agar tanah tersebut diberikan hak milik kekal, namun permohonan itu tidak diluluskan oleh kerajaan negeri ketika itu.
“Banyak kali mereka mohon pemilikan kekal tetapi tidak diluluskan. Tanah itu masih diletakkan di bawah Kanun Tanah Negara (KTN) Seksyen 62 dan dijaga oleh Jabatan Pertanian. Ia bukan milik individu,” katanya menerusi hantaran video di media sosial, baru-baru ini.
Beliau berkata, selepas kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran pada tahun 2018, para peneroka sekali lagi mengemukakan permohonan untuk membatalkan status KTN 62 dan mendapatkan pemilikan individu, namun senarai nama pemohon hanya dikemukakan pada Februari 2025.
“Hanya 62 orang daripada keseluruhan lot yang masih aktif mengusahakan tanaman kelapa pandan. Selebihnya telah terbiar,” jelasnya.
Tambahnya, permintaan untuk menukar status tanah kepada Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) penempatan timbul selepas kerajaan negeri membuka sesi temu duga terbuka, yang menyaksikan seramai 626 penduduk memohon tapak rumah di kawasan berkenaan.
Menurutnya, keputusan menukar status tanah itu dibuat berdasarkan keperluan semasa masyarakat serta faktor lokasi tanah yang terletak di tengah kampung.
“Isu rampasan tidak timbul kerana tanah itu bukan milik individu. Tiada penama rasmi, tiada bayaran dibuat. Ia masih milik kerajaan di bawah KTN 62,” tegasnya.
Mengulas dakwaan bahawa tindakan kerajaan negeri itu bersifat zalim dan bercanggah dengan hukum syarak, Satiful menegaskan bahawa pendekatan tersebut adalah berdasarkan keutamaan semasa masyarakat, seperti yang pernah dilakukan oleh Saidina Umar al-Khattab ketika menguruskan isu penempatan di Madinah.
Beliau turut mendedahkan bahawa terdapat peserta yang memohon antara sembilan hingga 12 lot untuk satu keluarga, menjadikan pembahagian semula kepada penduduk dilihat lebih adil dan saksama.
“Kita ada senarai lengkap. Ada keluarga yang memohon hingga 12 lot. Dalam masa sama, ada 626 orang kampung memohon tapak rumah. Maka, kita beri satu lot seorang, demi keadilan kepada semua,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri sentiasa memberi keutamaan kepada sektor pertanian dan telah melaksanakan pelbagai projek di luar bandar, termasuk RTB Pertanian di Tol Sharif dan Durian Mentangau.
“Namun, isu ini berbeza kerana kedudukannya di tengah kampung dan keperluan semasa lebih menjurus kepada penempatan, bukan pertanian,” katanya lagi.
Isu berkaitan Projek Tanaman Kelapa Pandan di Tebing Tembah menjadi polemik apabila kerajaan negeri bercadang menukar status tanah berkenaan kepada RTB penempatan, menggantikan fungsinya sebagai tanah pertanian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!