'Kami terkilan, tanah diusahakan akan dirampas'

PESERTA projek kelapa pandan di Kampung Tebing Tembah, Paka, Dungun meluahkan rasa kecewa dan terkilan berhubung dakwaan cadangan kerajaan negeri yang mahu menarik balik tanah pertanian itu untuk dijadikan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) bagi pembangunan tapak perumahan.
Keputusan berkenaan memberi kesan kepada seramai 96 pengusaha yang mengusahakan tanaman berkenaan sebagai punca pendapatan bagi menyara keluarga.
Wartawan Sinar Harian, NORHASPIDA YATIM menyingkap suara hati mereka yang terlibat dalam pengambilalihan tanah tersebut.
DUNGUN - Tanaman kelapa pandan yang diusahakan sejak hampir dua dekad lalu membantu peserta membesarkan kesemua anak-anak mereka selepas mengerah keringat tanpa mengenal erti lelah.

Salah seorang peserta projek, Md Suffian A Ghani, 68 berkata, semua 10 anak-anaknya berjaya menghabiskan pelajaran hasil daripada tanaman berkenaan.
Menurutnya, kawasan tanaman kelapa itu pada asalnya merupakan hutan paya bakau yang dipenuhi semak samun sebelum dibersihkan untuk projek tanaman tersebut.
“Lapan anak lelaki, dua perempuan, semua dah habis sekolah dan berkeluarga hasil dari kebun ini. Saya dulu pemandu lori, berhenti tahun 2017 dan tumpu sepenuhnya kepada tanaman kelapa pandan.
“Pernah dulu saya tidur dalam kebun untuk jaga tanaman sebab waktu itu babi hutan terlalu banyak.
"Umbut dan buah kelapa habis dimakan. Penat lelah nak dapatkan hasil bukan mudah,” katanya yang mempunyai 72 pokok kelapa pandan.
Md Suffian berkata, pokok kelapa pandan mula mengeluarkan hasil pada usia tiga tahun yang membolehkannya meraih pendapatan antara RM300 hingga RM400 sebulan hasil jualan air nira dan buah kelapa
Jelasnya, pada bulan Ramadan pula, hasilnya mampu melonjak kepada RM5,000 hingga RM6,000.
“Harga runcit air nira 1.5 liter saya jual RM13 dan kalau 500 mililiter saya jual RM6. Kelapa pula saya jual RM2 sebiji. Itulah rezeki kami. Tapi bila timbul isu tanah nak diambil semula untuk buat perumahan, kami kecewa.
“Apa peranan jabatan pertanian? Exco pun senyap, padahal projek ni bawah mereka juga. Kami rasa macam ditipu hidup-hidup,” dakwanya.
Walaupun pasrah dengan ketentuan takdir, dia tidak dapat menyembunyikan rasa sedih dan kecewa kerana mengenangkan segala pengorbanan dan titik peluh yang dicurah selama ini bakal lenyap begitu sahaja.

Seorang lagi peserta, Khatijah Awang, 54, berkata, tanah berkenaan dibangunkan hasil jerih perih bersama ibu dan ahli keluarganya sejak hampir dua dekad lalu.
“Kami 19 beradik dibesarkan hasil daripada kebun ini. Tanam kelapa pandan sejak 18 tahun lalu.
“Ada 88 pokok semuanya. Hasil sekitar RM1,000 sebulan. Ada masa saya upah anak saudara tolong usahakan. Permintaan sentiasa ada selagi buah ada,” katanya.
Khatijah turut kesal kerana tiada sebarang perjumpaan atau perbincangan bersama ahli politik atau wakil rakyat berhubung isu itu.
“Nyior (kelapa) pandan kita di sini paling subur dan cantik. Tapi tiba-tiba tanah nak diambil, tiada perbincangan pun,” luahnya.

Sementara itu, ibunya, Mandak Sulong, 86, yang juga antara pengasas kebun kelapa tersebut berkata, dia mula mengusahakan tanah berkenaan bersama arwah suaminya sejak 2006.
“Saya dan arwah suami, Awang Abdul Rahman, bangunkan tanah ini dari tanah paya. Hasil kelapa pandan inilah saya besarkan anak-anak. Sekarang cucu hampir 80 orang, cicit 90 orang," katanya.

Menurutnya, tanah berkenaan dibahagikan oleh pihak jabatan pertanian kerana sesuai untuk tanaman kelapa pandan.
“Sedih sangat. Sayu bila fikirkan pengorbanan besar kami dari mula. Kalau tukar kepada kawasan rumah, habislah semuanya,” katanya sebak.
Sedia ambil tindakan undang-undang
Peserta projek kelapa pandan di Kampung Tebing Tembah, Paka di sini menyatakan kesediaan untuk mengambil tindakan undang-undang bagi membantah tindakan kerajaan negeri yang didakwa mahu menarik balik tanah pertanian di kawasan itu untuk dijadikan tapak perumahan di bawah Rancangan Tanah Berkelompok (RTB).

Pengerusi penyelaras projek, Abd Wahid Kasim berkata, beberapa saluran telah digunakan mereka bagi menyatakan bantahan itu termasuk menghantar memorandum bantahan kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Datuk Satiful Bahari Mamat.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini pihak mereka belum menerima sebarang jawapan rasmi berhubung perkara terbabit.
Malah, katanya, kerja-kerja mengukur tanah di kawasan berkenaan juga telahpun bermula.
“Saya dapat tahu bahawa tanah ini akan dipindah milik pada April lalu. Waktu itu saya ada hantar surat kepada Menteri Besar bagi menyatakan bantahan terhadap cadangan berkenaan.
“Kepada ADUN kawasan juga saya hantar surat dan mohon berjumpa beliau untuk berbincang mengenai perkara ini, malangnya tiada sebarang jawapan diterima daripadanya.
“Apa yang kami hairan ialah kami langsung tidak dibawa berbincang secara bersama mengenai perkara ini. Semuanya senyap, sedar-sedar tanah ini diberitahu akan diambil alih. Bayangkan perasaan kami yang bertahun-tahun usahakan tanah ini dengan titik peluh kami,” dakwanya.
Abdul Wahid berkata, kesemua peserta kecewa dengan tindakan tersebut kerana mereka telah mengusahakan tanaman kelapa pandan di tanah seluas 40 hektar sejak 2006 menggunakan modal sendiri.
Menurutnya, setiap peserta memiliki kira-kira 0.4 hektar tanah yang kini menjana pendapatan tetap antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.
Jelasnya, antara hasil diperoleh melalui jualan buah kelapa, air nira, anak benih serta beberapa produk lain yang mendapat sambutan tinggi.
“Kesemua kami kecewa dengan keputusan ini. Kami akan cuba usahakan selagi boleh untuk mempertahankan tanah ini.
“Kami sudah bersedia dengan peguam yang akan dilantik untuk bawa kes ini. Kami juga akan cuba menggunakan beberapa saluran lain yang difikirkan sesuai untuk menyelamatkan satu-satunya sumber pendapatan penduduk di sini.
“Apa yang berlaku kepada kami sangat tidak adil dan kami akan pertahankan hak kami ini walau dengan apa cara sekalipun,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!