[VIDEO] Trak FRU terbabit nahas ada rekod selenggara baik walau sudah lama digunakan - Saifuddin
IPOH - Trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam nahas di Teluk Intan sehingga meragut nyawa sembilan anggotanya disahkan mempunyai rekod penyelenggaraan yang baik.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, meskipun sudah lama digunakan sejak tahun 1997 namun masih dalam keadaan baik dan layak digunakan di jalan raya.
“Trak itu ada rekod penyelenggaraan yang baik. Saya kena tegaskan perkara itu. Walaupun umurnya agak lama, tetapi ia masih roadworthy, tiada masalah dari segi penyelenggaraan,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menziarahi waris Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, salah seorang mangsa korban nahas, di Kuarters Unit 5 FRU Sungai Senam di sini pada Rabu.
Saifuddin berkata, siasatan berhubung punca kejadian masih dijalankan dan terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan sama ada ia berpunca daripada kecuaian manusia atau faktor lain.
“Insiden semalam terlalu awal untuk kita buat keputusan sama ada kemalangan itu disebabkan kesilapan manusia yang membabitkan pemandu lori pasir dan sebagainya. Itu biar pasukan yang buat siasatan,” katanya lagi.

Saifuddin turut menjelaskan bahawa pihaknya komited untuk melakukan penambahbaikan terhadap semua aset agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ditanya dari segi penambahbaikan melibatkan tahap keselamatan anggota seperti penggunaan tali pinggang keledar dan sebagainya, beliau menjelaskan perkara itu akan diberikan perhatian dari segala aspek.
“Namun, ini merupakan kenderaan yang diklasifikasikan sebagai ‘combat vehicle’, yang direka untuk keperluan tertentu dalam operasi.
"Dalam misi tertentu, masa beberapa saat pun sangat penting. Kalau ada peralatan atau sistem keselamatan yang mengambil masa untuk ditanggalkan, ia mungkin menjejaskan kecekapan. Tapi semua ini kita serah kepada pihak pakar untuk menilai,” katanya.
Beliau menambah, ciri-ciri khas kenderaan seperti itu ada kelebihan dan kekurangannya, terutama dari segi kepantasan dan keperluan taktikal ketika bertugas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!