Nahas FRU: Tiada saksi tampil dakwa lori elak kenderaan keluar simpang

TELUK INTAN – Polis mengesahkan tiada pihak tampil mengesahkan dakwaan bahawa lori membawa muatan batu cuba mengelak kenderaan lain dalam nahas tragis membabitkan kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pada Selasa lalu.
Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, sehingga kini tiada laporan diterima berhubung dakwaan berkenaan.
"Setakat ini, saksi mendakwa lori berkenaan cuba mengelak kenderaan lain belum tampil memberi keterangan kepada polis.
"Sekiranya ada, polis akan meneruskan siasatan susulan bagi tujuan perbicaraan," katanya dalam sidang akhbar di Hospital Teluk Intan, di sini, pada Sabtu.
Menurut beliau, sebanyak 16 keterangan saksi termasuk pemilik kenderaan terbabit sudah diambil.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita mendakwa nahas mengorbankan sembilan anggota FRU di Jalan Chikus–Sungai Lampam berpunca daripada tindakan lori terbabit cuba mengelak sebuah kenderaan yang keluar dari simpang berhampiran.
Kejadian berkenaan disaksikan wanita tersebut yang merupakan pekerja gerai makan berdekatan sebelum mendengar bunyi dentuman kuat akibat pelanggaran itu.
Dalam kejadian tersebut, sembilan anggota FRU meninggal dunia manakala sembilan lagi cedera, sebahagiannya parah apabila trak dinaiki bertembung dengan sebuah lori muatan batu kerikil di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik, Teluk Intan.
Semasa kejadian, kenderaan FRU terbabit dalam perjalanan pulang ke Markas FRU Unit 5 Sungai Senam, Ipoh, bersama enam kenderaan FRU lain selepas selesai penugasan sempena perayaan Chitra Pournami di daerah Hilir Perak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
