Ini bukan permintaan mewah, sediakan bas khas kepada pasukan keselamatan - Akmal Saleh

SHAH ALAM - Kerajaan digesa supaya memperkenalkan bas khas tertutup, selamat dan dilengkapi tempat duduk individu kepada pasukan keselamatan bagi memastikan tragedi melibatkan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) tidak berulang pada masa hadapan.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, sudah tiba masanya lori lama yang digunakan untuk mengangkut anggota keselamatan diganti dengan pengangkutan yang lebih selamat.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu lagi, beliau tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak dalam insiden berkenaan, namun tindakan sewajarnya perlu diambil segera.
“Ini bukanlah permintaan mewah. Ini keperluan asas demi menjamin keselamatan mereka yang mempertaruhkan nyawa demi negara, yang berdiri di antara ancaman keselamatan dan perlindungan kepada rakyat.
“Kita harus berhenti menormalisasikan keadaan kerja yang tidak manusiawi untuk anggota keselamatan kita. Sudah terlalu lama mereka dibiarkan menjalankan tugas dalam keadaan yang tidak selamat dan tidak selesa.
“Sudah tiba masanya kita berani mengaku bahawa ada banyak yang perlu diperbaiki. Ini bukan kejadian pertama dan jika kita masih berdiam diri, ini juga bukan yang terakhir,” katanya.
Dalam kejadian pada jam 8.50 pagi Selasa, sembilan anggota FRU Unit 5 yang berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh, terlibat dalam kemalangan selepas trak yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah lori muatan batu kerikil.
Kejadian tersebut mengorbankan lapan anggota di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.
Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berkata, video tular sebelum kejadian tragis itu sudah cukup untuk membuka mata dan mengetuk hati semua mengenai cabaran sebenar yang perlu dilalui pasukan keselamatan negara.
Ujarnya, situasi berbeza bagi pemimpin dan pegawai tertinggi pasukan apabila disediakan kenderaan mewah dan lengkap dengan ciri-ciri keselamatan serta keselesaan ketika menjalankan tugas rasmi.
“Sedangkan, anggota keselamatan kita yang berada di barisan hadapan dilayan seperti barang muatan. Ini bukan sahaja tidak adil tetapi juga satu penghinaan terhadap maruah dan pengorbanan mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!