Organ terhimpit, pinggul patah, pundi kencing bocor antara kecederaan Koperal Syed Isfan

Gambar Rasidah bersama suaminya, Koperal Syed Isfan Syed Mohammad. Foto: FB Rasidah Suhada Zulkifli
Gambar Rasidah bersama suaminya, Koperal Syed Isfan Syed Mohammad. Foto: FB Rasidah Suhada Zulkifli
A
A
A

SHAH ALAM - Organ dalaman terhimpit, pundi kencing bocor dan dijangkiti kuman serta tulang pinggul patah dan rusuk retak.

Itu kecederaan parah yang dialami anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Koperal Syed Isfan Syed Mohammad akibat kemalangan menyayat hati di Teluk Intan pada Selasa.

Perkara tersebut dikongsikan isteri mangsa, Rasidah Suhada Zulkifli yang turut memaklumkan Syed Irfan perlu menjalani dua lagi pembedahan setelah keadaan stabil.

Menurut Rasidah, suaminya selesai menjalani tiga pembedahan melibatkan kecederaan-kecederaan tersebut.

"Syed telah melalui tiga pembedahan bahagian perut dan dada kerana ususnya naik ke atas dan menghimpit paru-paru, hati dan limpa.

"Alhamdulillah, doktor berjaya membetulkan semua kedudukan organ tersebut ke asal.

"Empat tulang rusuknya yang retak tidak dapat dirawat melalui pembedahan dan kemungkinan akan sembuh dengan sendiri," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Katanya, pundi kencing suaminya mempunyai tiga bahagian yang bocor dan telah terkena jangkitan kuman.

Artikel Berkaitan:

"Doktor telah memasukkan tiub stand dalam saluran antara buah pinggang dan pundi kencing, serta menebuk tiub di bahagian luar.

"Sekarang dia kencing mengikut tiub, manakala saluran kencing biasa masih lagi rosak dan mungkin akan mengambil masa untuk doktor melakukan pembedahan pada bahagian tersebut.

"Tulang pinggul patah. Doktor telah memasukkan stand besi tetapi tidak dapat melakukan pembedahan pada bahagian mangkuk pinggul yang patah itu lagi. Perlu tunggu dia stabil dahulu," katanya.

Syed Isfan merupakan salah seorang daripada sembilan anggota yang cedera dalam kemalangan dengan lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam pada jam 8.54 pagi Selasa.

Dalam kejadian tersebut, sembilan anggota FRU meninggal dunia dengan lapan daripadanya disahkan maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Teluk Intan.

Kejadian berlaku ketika 18 anggota dari FRU Unit 5 yang berpangkalan di Sungai Senam berada di dalam trak yang dalam perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan perayaan Chitrapournami di Hilir Perak.

Rasidah berkongsi gambar Isfan daripada layar rakaman terakhir dalam trak FRU sebelum kejadian kemalangan yang meragut nyawa sembilan wira negara pada Selasa. Foto: FB Rasidah Suhada Zulkifli
Rasidah berkongsi gambar Isfan daripada layar rakaman terakhir dalam trak FRU sebelum kejadian kemalangan yang meragut nyawa sembilan wira negara pada Selasa. Foto: FB Rasidah Suhada Zulkifli

Siasatan awal mendapati kegagalan fungsi stereng lori yang membawa muatan pasir dipercayai menjadi punca kepada kemalangan itu.

Dalam pada itu, meskipun diuji dengan dugaan berat, Rasidah bersyukur dengan perkembangan positif yang berlaku dan yakin suaminya akan pulih.

"Insya-ALLAH, dia kuat. Mungkin semalam saya sedih dan bimbang, tapi hari ini saya reda dan bersyukur sebab ada keajaiban berlaku...berkat daripada doa semua.

"Kalau ikutkan, banyak risiko yang dia kena lalui, tapi dengan kuasa ALLAH SWT, semua risiko pendarahan, risiko buang limpa dan risiko potong usus dapat doktor tangani dengan baik. Semuanya berjalan lancar.

"Apa pun, masih ada dua lagi pembedahan untuk dia... tunggu dia stabil. Insya-ALLAH, satu-satu...dia akan baik. Saya yakin," katanya.

Sementara itu, menerusi hantaran di 'story' Facebook, Rasidah meluahkan perasaan bersedia memikul tanggungjawab untuk berbakti dalam tempoh Syed Isfan berjuang melawan kesakitan.

"Selama ini abang yang jaga sayang dan anak-anak... tapi sekarang sayang kena ke depan.

"Tanggungjawab baru... sayang akan ambil alih jadi kapten kapal kita sementara abang berjuang lawan sakit.

"Sayang akan jaga abang, jaga anak-anak...urus semua keperluan kita. Tak apa... sayang yakin sayang boleh buat.

"Sayang akan berbakti pada abang... sayang akan jaga abang macam mana abang pernah ratukan sayang. Sayang tunggu abang sedar... sayang rindu nak dengar suara abang," luahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!