Nahas FRU: Veteran polis syor teliti logistik, kenderaan PDRM

SHAH ALAM - Kerajaan dicadang mempertimbangkan penubuhan jawatankuasa khas bagi meneliti keperluan logistik serta kenderaan sedia ada milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang digunakan dalam operasi dan mobilisasi pasukan berkenaan.
Setiausaha Agung Persatuan Kebajikan Veteran Polis Malaysia (VPOL), Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos berkata, langkah itu perlu bagi mengelak kemalangan tragis melibatkan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak daripada berulang.
"VPOL percaya kajian yang dilakukan ini dapat membantu kerajaan memperoleh data dan memahami dengan lebih baik situasi, keadaan serta keperluan semasa PDRM.
"Hasil daripada kajian ini dapat membantu kerajaan merangka dan mengambil langkah proaktif dalam memastikan segala aset logistik serta kenderaan yang digunakan berada pada tahap optimum.
"Ia bagi menjamin keselamatan pegawai polis yang bertugas dalam mencegah jenayah serta menjaga keamanan masyarakat dan negara," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Pada Selasa, negara dikejutkan dengan insiden tragis yang menyaksikan sembilan anggota FRU terkorban dalam kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampan, Teluk Intan, Perak.
Ia susulan trak pasukan yang membawa 18 penumpang termasuk pemandu itu dirempuh lori muatan batu kerikil ketika dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai melaksanakan tugas di bawah Op Chariot di Teluk Intan.
Sementara itu, VPOL katanya juga menyokong cadangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain supaya meneliti langkah tambahan bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan pegawai polis yang menjalankan tugas.
Katanya, ia termasuk cadangan penggunaan kenderaan yang lebih bersesuaian seperti bas sebagai alternatif pengangkutan utama menggantikan trak bagi tujuan mobilisasi pegawai polis ke lokasi operasi, selain cadangan penglibatan pasukan peronda sebagai pengiring perjalanan.
VPOL dalam masa sama turut menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada seluruh ahli keluarga pasukan FRU yang terlibat dalam nahas berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!