‘Sabah untuk rakyat Sabah’ tidak wajar jadi alasan tolak kerjasama Persekutuan - Bung Moktar

KOTA KINABALU - Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan slogan ‘Sabah untuk rakyat Sabah’ boleh menjadi penghalang kepada kerjasama antara negeri dan Persekutuan jika dijadikan alasan untuk menolak hubungan dengan kerajaan Persekutuan.
Menurut beliau, Sabah tidak seharusnya terus menjadi mangsa permainan slogan semata-mata sedangkan rakyat masih berdepan pelbagai masalah berkaitan kemudahan asas.
“Saya terpanggil untuk membalas kenyataan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, yang mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai isu ‘Sabah untuk rakyat Sabah’.
“Slogan ini boleh menjadi satu semangat, tetapi apabila dijadikan alasan untuk menolak kerjasama dengan Persekutuan, ia berubah menjadi dinding pemisah.
“Kita tidak mahu Sabah terus menjadi mangsa percaturan slogan, sedangkan rakyat masih menagih air bersih, bekalan elektrik yang stabil serta peluang pekerjaan yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, rakyat Sabah kini semakin bijak dan menilai berdasarkan prestasi serta pencapaian, bukan melalui retorik atau provokasi.
“Mereka mahukan pembangunan, bukan perpecahan. Mereka inginkan kestabilan, bukan ketegangan yang ditimbulkan demi kepentingan peribadi.
“Justeru, UMNO Sabah akan terus berpijak pada realiti dan berdiri teguh bersama rakyat. Kita tidak memilih waktu untuk membela mereka – kita hadir saat mereka memerlukan, bukan hanya ketika memerlukan undi,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata tuduhan bahawa kenyataan Presiden UMNO memecah belahkan rakyat Sabah dan memesongkan sejarah adalah tidak berasas dan berbahaya jika dibiarkan tanpa penjelasan secara berhemah.
“Sebagai Ketua UMNO Sabah, saya ingin menegaskan bahawa memperjuangkan hak negeri ini bukanlah suatu perlumbaan, tetapi satu tanggungjawab yang digalas dengan kewarasan sejarah, kesantunan politik, dan keberanian membina – bukan memecah.
“Sejarah telah mengajar kita bahawa tokoh seperti Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun tidak menegakkan hak Sabah dengan meniup api perpecahan, sebaliknya membina jambatan kepercayaan antara negeri ini dan Persekutuan.
“Inilah semangat yang diwariskan kepada kita – semangat yang matang, berpijak di bumi nyata dan tidak menjadikan slogan sebagai ganti penyelesaian,” katanya lagi.
Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag menegaskan bahawa suara Sabah di peringkat Persekutuan kini lebih dihormati.
“Hak perjawatan, peruntukan pembangunan, dan penglibatan dalam dasar-dasar nasional sedang dikembalikan secara berperingkat menerusi rundingan dan diplomasi – bukan melalui demonstrasi.
“Inilah pendekatan yang UMNO Sabah dukung – kerja senyap yang membawa perubahan, bukan jeritan kuat yang hilang dalam angin politik,” ujarnya.
Beliau turut menyindir Dr Jeffrey yang menurutnya sering menggunakan retorik Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ketika berkempen, namun gagal menunaikan janji setelah diberi mandat.
“Ironinya, Dr Jeffrey yang kini mendakwa sebagai pejuang MA63, ketika menjadi pembangkang banyak berjanji namun tiada satu pun yang menjadi.
“Retorik MA63 diulang setiap musim pilihan raya, tetapi selepas menang, rakyat hanya disajikan dengan alasan.
“Jika benar perjuangan itu ikhlas, mengapa kampung-kampung yang dipimpin beliau sendiri masih ketinggalan? Mengapa janji-janji lama terus membelenggu rakyat yang kini semakin muak dengan permainan lama yang diulang semula?” soalnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!