'Yang memecahbelahkan bukan 'Sabah untuk rakyat Sabah', tapi keangkuhan Persekutuan' - Jeffrey Kitingan

Jeffrey Kitingan
Jeffrey Kitingan
A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menegaskan bahawa sentimen 'Sabah untuk rakyat Sabah' bukan sekadar slogan politik sementara, sebaliknya merupakan prinsip yang akan terus diperjuangkan.

Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, pihak yang sebenarnya memecahbelahkan perpaduan adalah Persekutuan yang enggan mengiktiraf kedudukan sebenar Sabah dalam Malaysia.

"Biar saya tegaskan, 'Sabah untuk rakyat Sabah' akan terus dipertahankan. Ia bukan slogan politik sementara tapi ia adalah pemulihan kebenaran yang telah lama dinafikan.

"Jika ada yang memecahbelahkan, ia adalah keangkuhan Persekutuan yang berterusan dan enggan mengiktiraf kedudukan Sabah yang sebenar," katanya dalam kenyataan pada malam Isnin.

Beliau yang juga Naib Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan sentimen itu sebagai memecahbelahkan dan tidak membawa faedah.

Jeffrey menegaskan, hubungan antara Sabah dan Putrajaya seharusnya dibina atas asas hormat dan kesetaraan, bukan kepatuhan membuta tuli.

"Kita akan bekerjasama jika ia membawa manfaat kepada Sabah, tetapi kita tidak akan lagi bertolak ansur dengan campur tangan, manipulasi dan eksploitasi.

"Sabah bukan tanah jajahan Tanah Melayu. Kita tidak pernah menjadi demikian dan tidak akan pernah.

Artikel Berkaitan:

"Sama ada kita mara sebagai rakan kongsi yang dipulihkan dalam Persekutuan atau merintis haluan baharu sepenuhnya, semuanya bergantung kepada cara Sabah dilayan selepas ini. Keputusan itu tidak akan dibuat di Putrajaya, tetapi di sini oleh rakyat Sabah sendiri," tegasnya.

Mengulas lanjut, kenyataan yang dibuat oleh Ahmad Zahid disifatkan sebagai menafikan sejarah, memesongkan fakta dan memperlekehkan kehendak politik rakyat Sabah yang sah.

"Kita tidak memerlukan kebenaran untuk bersuara bagi pihak diri sendiri dan kita juga tidak perlu pengesahan daripada mana-mana tokoh Persekutuan untuk menuntut apa yang sememangnya menjadi hak kita.

"Slogan 'Sabah untuk rakyat Sabah' bukanlah tindakan menderhaka. Ia adalah pendirian yang sah demi maruah politik, integriti Perlembagaan dan kebenaran sejarah.

"Sabah tidak pernah dimaksudkan untuk menjadi negeri bawahan. Kita membentuk Persekutuan Malaysia sebagai rakan kongsi yang setara bersama Sarawak dan Tanah Melayu, berpandukan syarat-syarat jelas dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC)," katanya.

Beliau dalam pada itu menzahirkan kekecewaan terhadap layanan yang diterima Sabah sejak sekian lama, menyifatkannya sebagai penindasan yang berakar umbi dalam dasar dan tindakan Kerajaan Persekutuan.

"Izinkan saya berterus terang, selama berdekad-dekad, Sabah dilayan seperti tanah jajahan sumber, manakala suara kami terus diketepikan.

"Kerajaan Persekutuan secara sistematik telah meruntuhkan semangat MA63, menghakis kedudukan Perlembagaan kami dan mengaut kekayaan dari bumi kami sambil mengabaikan keperluan pembangunan," katanya.

Jeffrey turut menyenaraikan beberapa fakta yang menurutnya membuktikan betapa hak Sabah telah diketepikan sejak tahun 1976 iaitu termasuk hasil bumi seperti minyak dan gas diletakkan di bawah kawalan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) tanpa suara yang bermakna daripada rakyat Sabah.

"Selain itu, status kita sebagai negara dan rakan kongsi setara dipadamkan daripada Perlembagaan Persekutuan dan Negeri. Projek IC (kad pengenalan) membawa masuk pendatang tanpa izin, mengubah demografi dan masa depan politik kita secara kekal.

"Perlembagaan negeri Sabah diubah suai untuk membolehkan kemasukan parti-parti dari Semenanjung, yang kemudian bergilir-gilir memegang jawatan Ketua Menteri sehingga tiba giliran UMNO. Hutan dan tanah kita dipindah milik kepada entiti luar dari Sabah, mengkayakan pihak lain atas penderitaan kita.

"Dasar hasil Persekutuan terus menafikan hak Sabah, manakala infrastruktur kita masih jauh ketinggalan dan janji Borneonisasi kekal tidak ditunaikan apabila jawatan persekutuan di Sabah masih dikuasai oleh orang Semenanjung sehingga kini.

"Kini, selepas semua ini berlaku, rakyat Sabah disuruh untuk diam dan tidak menyuarakan aspirasi sendiri? Untuk sekadar melihat parti-parti dari Semenanjung berunding sesama sendiri tentang siapa yang layak memerintah Sabah?

"Kami tidak akan meminta maaf kerana mahu menentukan masa depan sendiri. Sabah berhak menentukan haluannya sendiri. Jika Persekutuan Malaysia mahu terus bermakna, ia mesti dibina atas asas perkongsian sejati, bukan penguasaan," tegasnya sekali lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!