Petani Sabah terima manfaat, sisa bufet jadi kompos

KOTA KINABALU - Berbuka puasa di hotel dan restoran yang menyajikan set bufet Ramadan kini menjadi antara gaya hidup masyarakat bandar.
Namun pernahkah kita terfikir, setiap hari berapa banyak makanan yang dihidangkan tetapi tidak dihabiskan dan akhirnya menjadi sisa terbuang?
Bagi menjawab persoalan itu, wartawan Sinar Harian berpeluang melihat sendiri operasi di sebuah hotel lima bintang di sini yang mengambil inisiatif memproses sisa bahan makanan untuk dijadikan kompos dan seterusnya dimanfaatkan petani tempatan di negeri ini.
Pengurus Besarnya, Thor Gervasi berkata, pihaknya menitikberatkan impak operasi terhadap komuniti setempat termasuk dari segi tanggungjawab sosial dan alam sekitar.
Menurutnya, projek pengkomposan dimulakan sejak 2024 dengan matlamat mengurangkan sisa makanan yang dihantar ke tapak pelupusan.
"Dalam tempoh 48 jam, kira-kira 80 kilogram sisa makanan diproses dan menghasilkan sekitar 20 kilogram kompos.
"Pada musim puncak seperti Ramadan, jumlah kompos boleh mencecah antara 500 hingga 600 kilogram sebulan.
"Bahan kompos ini tidak dijual, sebaliknya diberikan secara percuma kepada komuniti sebagai usaha memberi kembali dan pada hujung tahun lalu, kompos mula dihantar ke ladang di Kundasang bagi membantu memulihkan dan menyuburkan tanah sebelum proses penanaman dimulakan," katanya.
Bagaimanapun, Thor berkata, pada peringkat awal terdapat petani yang kurang yakin menggunakan kompos daripada sisa makanan kerana kurang memahami prosesnya.
"Kami mendapatkan rakan kerjasama untuk memberi penerangan dan taklimat supaya mereka faham kaedah serta manfaat kompos ini. Selepas itu barulah mereka mula menerimanya," katanya.
Beliau berkata, pihaknya mempunyai matlamat jangka panjang termasuk menggalakkan pertanian dengan kurang penggunaan bahan kimia dan racun perosak, sekali gus menjimatkan kos petani serta meningkatkan kesedaran terhadap pertanian organik.
"Selain kompos, hampas kopi turut diberikan kepada orang ramai untuk digunakan sebagai baja tanaman di rumah.
"Malah, dalam usaha membantu haiwan terbiar, makanan yang masih sesuai seperti nasi, roti dan lebihan daging tanpa rempah berlebihan diasingkan untuk disumbangkan kepada sebuah pusat perlindungan di sekitar Manggatal yang menjaga lebih 40 ekor anjing.
"Kami turut menyediakan peti sejuk beku untuk memudahkan penyimpanan makanan tersebut, namun bantuan tertakluk kepada kesesuaian lebihan makanan yang ada," katanya.
Secara keseluruhannya, usaha itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pengurangan sisa, amalan lestari dan kepentingan menyokong komuniti setempat.
Ringkasan AI
- Berbuka puasa di hotel dan restoran menyajikan set bufet Ramadan menjadi gaya hidup masyarakat bandar
- Sebuah hotel lima bintang di Kota Kinabalu memproses sisa bahan makanan menjadi kompos untuk dimanfaatkan oleh petani tempatan
- Projek pengkomposan itu telah dimulakan sejak 2024 dengan tujuan mengurangkan sisa makanan yang dihantar ke tapak pelupusan
- Kompos hasil proses ini diberikan secara percuma kepada komuniti, bantu memulihkan dan menyuburkan tanah tanaman
- Inisiatif ini termasuk menyumbangkan makanan sesuai kepada pusat perlindungan haiwan dan menyediakan hampas kopi sebagai baja tanaman
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
