Moratorium syif jururawat 45 jam seminggu dilanjut sebulan - Dr Dzulkefly

Dr Dzulkefly (barisan kedua dari depan, duduk tengah) bergambar bersama bidan dan jururawat pada majlis Sambutan Hari Bidan dan Hari Jururawat Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Putrajaya pada Selasa. FOTO: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Dr Dzulkefly (barisan kedua dari depan, duduk tengah) bergambar bersama bidan dan jururawat pada majlis Sambutan Hari Bidan dan Hari Jururawat Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Putrajaya pada Selasa. FOTO: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

PUTRAJAYA - Tempoh moratorium pelaksanaan waktu bekerja jururawat selama 45 jam seminggu dilanjutkan sebulan lagi bagi membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memuktamadkan cadangan kepada Kabinet.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keputusan itu dibuat selepas sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan selesai dilaksanakan.

“Prosesnya kini di peringkat akhir selepas pelbagai sesi libat urus dilaksanakan. Namun seperti saya sebutkan sebelum ini, saya tidak akan membuat keputusan tanpa memahami keseluruhan program kejururawatan secara terperinci.

“Lanjutan ini bagi membolehkan saya merumuskan keputusan dengan mengambil kira semua faktor agar keputusan yang dibuat nanti benar-benar adil,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Bidan dan Hari Jururawat Peringkat Kebangsaan 2025 di Institut Kanser Negara (IKN) di sini pada Selasa

Menurut Dr Dzulkefly, hasil rumusan dan cadangan itu dijangka dibentangkan kepada Kabinet pada 1 Julai depan.

Terdahulu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan tempoh interim selama tiga bulan bermula 1 Disember 2024 hingga 28 Februari 2025 bagi KKM membuat persediaan ke arah pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam seminggu.

Sebagai rekod, Kesatuan Jururawat Malaya (MNU) sebelum ini membangkitkan kebimbangan terhadap pelaksanaan waktu kerja tersebut dengan menyifatkan ia tidak adil untuk membandingkan jururawat yang bekerja secara syif termasuk syif malam dengan pekerja pejabat yang hanya bekerja lima hari seminggu.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly menjelaskan, arahan baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang memerlukan jururawat di wad hospital bekerja tambahan tiga jam seminggu bermula 1 Disember ini adalah munasabah.

Sementara itu, beliau memaklumkan isu elaun jururawat yang turut dibangkitkan MNU masih dalam perbincangan di peringkat kementerian.

Artikel Berkaitan:

“Saya sudah arahkan perkara ini diteliti. Namun ia memerlukan sedikit masa kerana masih di peringkat perbincangan,” katanya.

MNU sebelum ini menggesa kerajaan menyemak semula semua elaun jururawat termasuk elaun wilayah RM1,000 sebulan bagi jururawat yang berkhidmat di luar negeri asal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!