KKM setuju tangguh kerja 45 jam seminggu bagi jururawat - Senator

Lingeswaran (foto kecil) menyatakan perkembangan baharu itu dimaklumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. Foto hiasan
Lingeswaran (foto kecil) menyatakan perkembangan baharu itu dimaklumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan waktu kerja 45 jam seminggu bagi jururawat seperti diumumkan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini ditangguhkan selama tiga bulan lagi supaya pelbagai isu berbangkit ditangani terlebih dahulu.

Senator, Dr A Lingeswaran berkata, perkembangan baharu itu dimaklumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad kepada sekumpulan ahli Parlimen dan senator yang menemuinya untuk membincangkan isu berkenaan.

"Penangguhan ini akan membantu menyelesaikan beberapa isu mengenai tambahan tiga jam per minggu di bawah sistem baharu itu,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today (FMT).

Menurut Lingeswaran yang juga bekas pengarah Hospital Sungai Bakap di Pulau Pinang, kumpulan wakil rakyat yang terlibat dalam memperjuangkan isu berkenaan akan meneruskan usaha memastikan jururawat tidak dibebani kerana dasar yang tidak adil.

Sebelum ini, pelbagai pihak menyuarakan kebimbangan mengenai arahan baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan menetapkan jururawat bekerja secara syif selama 45 jam seminggu berbanding 42 jam ketika ini.

Susulan itu, Dr Dzulkefly memaklumkan, KKM masih menjalankan sesi libat urus di seluruh negara sebelum memuktamadkan keputusan berhubung pelaksanaan tempoh bekerja 45 jam bagi petugas syif termasuk jururawat, penolong pegawai perubatan dan pemandu ambulans.

Terbaharu, Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan mencadangkan agar KKM dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengekalkan waktu bekerja petugas sektor itu selama 42 jam seminggu seperti dilaksanakan sebelum ini.

Pengerusinya, Suhaizan Kaiat berkata, keputusan itu dibuat selepas selesai mengadakan tiga sesi libat urus bersama Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Jururawat Malaysia (MNA) dan Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia (PPPM) bagi mendengar sendiri isu berbangkit.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!