Delegasi Jururawat Malaysia bantah sistem kerja syif 45 jam

 Delegasi Jururawat Malaysia (DJM) membantah penetapan sistem kerja syif 45 jam seminggu kerana dijangka memberikan implikasi negatif yang besar terhadap profesion jururawat serta sistem kesihatan secara keseluruhan. Gambar hiasan.
Delegasi Jururawat Malaysia (DJM) membantah penetapan sistem kerja syif 45 jam seminggu kerana dijangka memberikan implikasi negatif yang besar terhadap profesion jururawat serta sistem kesihatan secara keseluruhan. Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM – Delegasi Jururawat Malaysia (DJM) membantah penetapan sistem kerja syif 45 jam seminggu kerana dijangka memberikan implikasi negatif yang besar terhadap profesion jururawat serta sistem kesihatan secara keseluruhan.

DJM dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, sebarang dasar baharu yang diperkenalkan tidak seharusnya membebankan jururawat yang sudah pun berada dalam tekanan kerja yang tinggi.

Katanya, beberapa perkara perlu diberi perhatian kerana pelaksanaan sistem berkenaan berpotensi memberikan kesan bebanan tambahan termasuk memberi tekanan mental serta keletihan melampau dalam kalangan jururawat yang boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan.

“Ia juga memberi gangguan terhadap keseimbangan kerja dan kehidupan keluarga kepada jururawat, yang boleh memberi impak kepada kebajikan serta keharmonian kakitangan.

“Kualiti perkhidmatan kesihatan turut terjejas kerana keletihan fizikal dan mental akibat beban kerja berlebihan boleh menyebabkan penurunan produktiviti, peningkatan kadar kesilapan perubatan dan penurunan kepuasan kerja dalam kalangan jururawat,” katanya.

DJM menegaskan, sistem kerja tersebut juga akan meningkatkan kos operasi kerajaan disebabkan lebih banyak tuntutan bayaran kerja lebih masa (OT) akan dibuat kerana jumlah jam bekerja bertambah seterusnya memberikan tekanan kepada peruntukan kewangan kerajaan yang sedia ada.

“Selain itu, kami berpandangan bahawa beban kerja jururawat yang semakin meningkat tanpa gaji yang setimpal boleh mendorong lebih ramai jururawat untuk berhijrah ke luar negara atau ke sektor swasta.

“Ini akan memberi kesan kepada usaha Lembaga Jururawat Malaysia (LJM) dalam memaksimumkan pengambilan jururawat, walaupun syarat kelayakan kemasukan jururawat telah diturunkan kepada hanya tiga kredit Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mana kemasukan sebelum ini adalah sebanyak lima kredit,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

DJM menambah, dari sudut perbandingan antarabangsa, sistem kerja syif 45 jam meletakkan Malaysia sebagai negara terkebelakang dengan waktu kerja tertinggi bagi jururawat.

Katanya, waktu kerja jururawat di United Kingdom ialah 38.5 jam seminggu, Singapura (38 jam seminggu minimum, 42 jam seminggu maksimum) dan Indonesia (40 jam seminggu).

“Kami menegaskan bahawa tatakelola yang baik dan libat urus yang menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan perlu menjadi asas dalam setiap keputusan yang melibatkan tenaga kerja kesihatan.

“Sebarang dasar baharu mestilah bersifat mampan dan tidak mendiskriminasikan profesion tertentu. Kebajikan jururawat harus diberi perhatian serius agar sistem kesihatan negara dapat terus berfungsi secara cekap dan berkualiti,” tegasnya.

Bermula 1 Disember lalu, jururawat yang bekerja secara syif dikehendaki bekerja selama 45 jam seminggu, bertambah daripada 42 jam sebelumnya berdasarkan arahan baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada 11 Disember lalu dilaporkan berkata, pihaknya akan meneruskan libat urus dengan pelbagai pihak mengenai isu berbangkit tersebut.

“Kita akan teruskan libat urus ini kerana perkara ini telah dibuat dalam SSPA. Kabinet dan Perdana Menteri pun (mahukan) supaya perkara ini dilaksanakan dahulu dan kita sedia menimbang keperluan ini sebab saya tahu (akan masalahnya)," katanya semasa sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi kementeriannya di Dewan Negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!