[VIDEO] Sultan Pahang tinjau hutan Raub yang diceroboh
RAUB - [DIKEMAS KINI] Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa terkejut dengan jumlah keluasan tanah kerajaan yang diteroka secara haram bagi aktiviti penanaman durian di daerah Raub.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat mencemar duli, diiringi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, meninjau kawasan penguatkuasaan melibatkan penebangan pokok durian musang king di Batu 3 Sungai Ruan-Sungai Klau di sini pada Khamis.

“Setelah mendengar taklimat tadi, saya begitu terkejut dengan angka yang diberitahu iaitu 26,000 ekar (10,521 hektar) di daerah Raub sahaja. Ia satu angka yang besar.
“Namun, tindakan seterusnya perlu dilakukan dan saya berharap semua pihak harus bekerjasama kerana kita tidak boleh membiarkan amalan aktiviti haram ini diteruskan.
“Kita perlu menoktahkan dan menyelesaikannya secara terbaik. Dan jika perkara ini dibiarkan, seolah-olah kita tiada pihak berkuasa, pejabat hutan, pejabat tanah, pejabat Menteri Besar,” titah baginda.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.
Baginda turut bertitah bahawa semua pihak perlu memahami hakikat sebenar dan mana-mana individu atau pihak yang ingin membuat permohonan tanah harus melalui proses rasmi yang ditetapkan kerajaan.
Ketika ditanya mengenai usaha menoktahkan isu tersebut, baginda menjelaskan bahawa usaha itu boleh dilaksanakan secara berperingkat.
“Kita boleh berusaha untuk menoktahkan secara berperingkat. Tidak boleh buat secara mengejut dan sekali gus, itu mungkin agak sukar.
“Sekurang-kurangnya ada hala tuju ke arah penyelesaian. Jika tidak, pencerobohan ini akan berterusan dan mesti dihentikan. Kita ingin mengingatkan bahawa negara ini ada undang-undang,” titah baginda lagi.

Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil dan hukuman lebih berat mungkin dikenakan ke atas penceroboh.
“Saya ingin mengingatkan mereka, kita ada undang-undang di negara ini dan di Pahang,” titah baginda.
Baginda turut menegaskan supaya semua pihak tidak mudah terpengaruh dengan dakyah mereka yang kononnya berjuang membela penceroboh.
“Jangan terkeliru, jangan terbeli dengan dakyah-dakyah ini kerana kita mesti ikut peraturan... yang mana telah berlaku itu, saya tidak mahu ungkit.
“Seperti yang saya nyatakan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, kita hendak bergerak ke hadapan, ya.
“Kita ada satu sistem yang boleh mengurus tadbir hal-hal berkaitan tanah ini dengan sebaik mungkin. Bukan seperti yang sedang berlaku sekarang kerana ia tidak adil kepada rakyat, kerajaan dan semua pihak,” titah baginda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

