Guna teknologi moden pantau aktiviti ceroboh tanah

SHAH ALAM - Penggunaan teknologi pemantauan moden seperti satelit penderiaan jauh atau remote sensing, dron dan sistem penandaan GPS (Global Positioning System) perlu diperluaskan bagi mengelakkan pencerobohan tanah kerajaan dari terus berleluasa.
Peguam, Muhammad Nabil Fikri Mat Aji berkata, langkah itu wajar dipertimbangkan memandangkan kaedah pemantauan secara fizikal di kawasan luas dan pedalaman adalah kurang efisien serta ketinggalan zaman.
“Pemantauan tanah menggunakan teknologi seperti satelit penderiaan jauh jauh lebih efisien berbanding kaedah konvensional. Ia membolehkan pihak berkuasa mengesan sebarang perubahan atau aktiviti mencurigakan di tanah kerajaan dengan pantas.
“Kita juga boleh guna dron dan sistem GPS tagging (penandaan GPS) terutama di kawasan yang telah diluluskan kerajaan untuk projek tertentu.
“Ini membantu mengelakkan pencerobohan sempadan serta memantau pergerakan jentera berat seperti jengkaut dan lori,” katanya kepada Sinar Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu kemelut pencerobohan tanah secara haram di negeri itu segera dinoktahkan.
Menurut Muhammad Nabil, isu pencerobohan tanah bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri, malah memberi kesan buruk kepada kelestarian alam sekitar dan sistem perundangan.
Katanya, antara punca utama masalah itu berlarutan adalah kelemahan dalam aspek penguatkuasaan meskipun peruntukan undang-undang telah sedia ada.
“Kita ada undang-undang, tetapi penguatkuasaan selalunya lewat dan tidak menyeluruh. Tindakan hanya diambil selepas bertahun-tahun tanah diceroboh,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

