Tubuh jawatankuasa khas, lantik pakar tangani isu ceroboh tanah haram - ADUN Tras

Tengku Zulpuri
Tengku Zulpuri
A
A
A

KUANTAN – Kerajaan Pahang dicadang mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi mencari jalan penyelesaian tuntas berhubung isu pencerobohan tanah haram di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, pencerobohan tanah haram memerlukan kajian mendalam bagi mengatasi dan mencegahnya daripada terus berulang.

"Dicadangkan suatu komuniti atau jawatankuasa khas dibentuk bagi meneliti masalah ini.

"Komuniti ini akan mencadangkan kaedah penyelesaian yang adil dan (secara) menang-menang, terutamanya bagi kes pencerobohan yang telah berlaku terlalu lama dan melibatkan rakyat tempatan mahupun dari luar Pahang,” kata.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Isnin.

Tengku Zulpuri berkata, jawatankuasa tersebut boleh dianggotainya, bekas pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG), pakar-pakar tanah dari institusi pengajian tinggi atau Institut Tanah Negara, ulamak, Polis Diraja Malaysia (PDRM), peguam dan lain-lain pihak yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan.

Katanya, jawatankuasa tersebut perlu diberikan tempoh selama tiga bulan untuk mengemukakan cadangan pelan tindakan kepada kerajaan negeri untuk dilaksanakan.

“Pencerobohan perlu dinoktahkan dan tanah-tanah yang telah diceroboh tidak boleh dibiarkan terlalu lama tanpa tindakan, akan berlaku kecurian terhadap tanaman yang boleh dituai dan dijual.

Artikel Berkaitan:

“Adalah mustahil untuk memusnahkan semua tanaman yang telah matang dan berhasil. Maka lebih baik ia dimanfaatkan. Antara tindakan awal yang boleh diambil ialah menerusi hak pungutan hasil tanaman," ujarnya.

Dalam pada itu, Tengku Zulpuri Shah berkata, tindakan kerajaan Pahang secara drastik dan konsisten memotong atau menebang pokok durian telah matang boleh memberi kesan kepada alam sekitar serta ekosistem.

"Apa cara yang dicadangkan, jika tidak dipersetujui atau disukai, itu tidak semestinya tidak baik dan yang dipersetujui atau disukai, tidak semestinya baik sebagaimana kata-kata orang bijak pandai,” katanya.

"Mungkin pihak kerajaan boleh memikirkan cara lain atau pendekatan lain bagi mengatasi masalah ini," katanya.

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim

Sementara itu, ADUN Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut mencadangkan agar kerajaan Pahang menambah kemudahan kepada anggota penguat kuasa sama ada teknologi moden termasuk dron bagi memantau pencerobohan.

Jelasnya, tanpa peralatan dan sokongan teknologi yang canggih ia agak sukar untuk pihak berkuasa bertindak.

"Saya menyokong penuh titah Sultan Pahang dan tindakan yang diambil (pencerobohan tanah) dan turut dukacita dalam kes ini kerana ada pihak yang membela mereka yang melanggar undang-undang," katanya.

Selain isu pencerobohan tanah secara haram, Tuan Ibrahim berkata, kerajaan Pahang perlu bertindak segera dalam menyelesaikan Tanah Rizab Melayu

(TRM).

Ujarnya, walaupun Al-Sultan Abdullah menzahirkan kegembiraan berkenaan peningkatan keluasan TRM kerajaan tidak boleh selesa.

"Terdapat aduan berkenaan kes 'Ali Baba' apabila terdapat individu pihak asing yang menggunakan nama Melayu atau kaum asal bagi mengaburi kerajaan.

"Ini juga adalah pencerobohan haram, malah ia adalah pengkhianatan baik kepada mereka yang menggunakan atau membenarkan penggunaan nama," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!