Isu ceroboh tanah: Bersatu Pahang gesa siasatan, elak persepsi
Sokong titah Al-Sultan Abdullah agar pencerobohan tanah dinoktahkan

TEMERLOH - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang menggesa kerajaan negeri melakukan siasatan ekoran kes pencerobohan tanah yang telah berlaku sejak puluhan tahun di negeri itu.
Ketua Bersatu Pahang, Datuk Abdul Khalib Abdullah berkata siasatan itu perlu dilakukan untuk mengelakkan persepsi yang dihadapi oleh beberapa pihak.
"Kerajaan negeri kena buat siasatan dan jangan kita cakap berdasarkan persepsi bila tidak ambil tindakan dan Bersatu Pahang menjunjung kasih dan menyokong penuh titah serta ketegasan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam isu tersebut.
"Sepatutnya isu pencerobohan ini sudah lama dinoktahkan dan Tuanku memandang berat dan melihat sumber kewangan untuk kerajaan negeri yang hilang akibat pencerobohan ini," katanya.
Beliau ditemui sempena Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Bersatu peringkat negeri Pahang di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Bersatu Bahagian Temerloh, Datuk Rofaie Hamdan serta kepimpinan di setiap daerah dan negeri.
Sementara itu, Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Muttalib turut menyokong titah Al-Sultan Abdullah yang mahukan rakyat menghormati undang-undang dan hidup dalam perpaduan.

“Kita mesti ikut peraturan, tak kira siapa. Jangan rasa kita boleh langgar undang-undang sesuka hati. Kalau buat salah, kena terima akibat,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Maran pada Sabtu.
Mengulas tindakan DAP Pahang yang terus mahu membela pekebun haram itu dengan menjadi orang tengah, beliau menyifatkan tindakan itu tidak wajar dilakukan kerana pencerobohan itu jelas menyalahi undang-undang.
"Benda ini sepatutnya sudah jelas... anda ceroboh tanah orang (kerajaan Pahang), jadi anda dalam keadaan bersalah.
"Tidak perlu berunding, keluar sajalah dan hormati undang-undang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

