Ceroboh tanah satu bentuk kemungkaran, jenayah syarie - Mufti Pahang

KUANTAN - Jabatan Mufti Negeri Pahang menyeru pihak berkuasa yang dipertanggungjawabkan agar melaksanakan penguatkuasaan secara tegas, telus dan berintegriti, berpaksikan prinsip hisbah serta amar makruf nahi mungkar.
Mufti Pahang, Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata, tindakan tersebut perlu dilakukan secara konsisten.
Beliau berkata sedemikian mengulas isu pencerobohan tanah secara haram di negeri itu.
Menurutnya, rakyat juga diminta agar mematuhi titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan bekerjasama menyalurkan maklumat berkenaan sebarang pencerobohan yang berlaku.
"Semua pihak juga diseru agar memahami bahawa membiarkan kerosakan di bumi membawa kepada bala dan azab.
"Ia sebagaimana firman ALLAH yang bermaksud: "Dan janganlah kalian membuat kerosakan di atas muka bumi setelah ia diperbaiki."(QS al-A'raf: 56)," katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, jabatan itu menyokong penuh segala usaha pihak kerajaan negeri dan agensi penguat kuasa dalam menangani isu terbabit.
"Ini demi memastikan bumi Pahang terus diberkati dan dilindungi daripada segala bentuk kemudaratan duniawi dan ukhrawi," jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau memberitahu titah baginda agar rakyat menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa adalah satu amanah besar demi menjaga kelestarian negeri serta kedaulatan undang-undang dan syarak.
"Pencerobohan tanah sama ada melalui perlombongan haram, penerokaan tanah, perladangan atau pembinaan infrastruktur tanpa kebenaran bukan sahaja satu pelanggaran undang-undang.
"Ini bahkan merupakan satu bentuk kemungkaran, pengkhianatan amanah dan jenayah syarie yang membawa kepada kerosakan bumi serta penindasan terhadap rakyat," ujarnya.
Jelasnya, pencerobohan tanah tersebut pula tidak boleh menggunakan konsep Ihya' Al Mawat kerana memberi mudarat kehilangan tanah yang besar kepada kerajaan untuk melaksanakan projek yang bermanfaat kepada seluruh rakyat.
Kata beliau, konsep Ihya' Al-Mawat hanya dapat dilaksanakan jika ia menjadi dasar kerajaan.
"Dalam konteks sekarang rakyat wajib mendapatkan kelulusan permit oleh kerajaan kerana semua rakyat tertakluk kepada undang-undang melalui Akta Kanun Tanah Negara 1965.
"Islam menegaskan larangan keras terhadap perbuatan ini. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang mengambil sejengkal tanah secara zalim, maka akan dikalungkan di lehernya tanah itu dari tujuh lapis bumi pada hari kiamat." (Riwayat al-Bukhari & Muslim)," tambahnya.
Katanya, tindakan tersebut termasuk dalam kategori al-ghasab merampas hak orang lain secara zalim yang diharamkan oleh syarak.
Jelasnya, ia turut mencabul prinsip hifz al-mal (penjagaan harta) dalam Maqasid al-Syariah dan mencabar peranan ulil amri dalam memelihara keadilan dan kemaslahatan ummah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!