Stok penimbal beras cukup untuk lebih enam bulan

Arthur ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kebangsaan Kejuruteraan Pertanian dan Keterjaminan Makanan (NAFEC) di Putrajaya pada Rabu.
Arthur ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kebangsaan Kejuruteraan Pertanian dan Keterjaminan Makanan (NAFEC) di Putrajaya pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kedudukan stok penimbal beras negara direkodkan pada kadar 200,000 tan metrik, mencukupi untuk keperluan negara selama 6.66 bulan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, keseluruhan stok fizikal beras dalam negara adalah 1,331,016 tan metrik.

"Bekalan ini cukup untuk menampung keperluan negara selama enam bulan lebih," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kebangsaan Kejuruteraan Pertanian dan Makanan (NAFEC) 2025 di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai perang antara India dan Pakistan di Kashmir yang dibimbangi akan meluas ke seluruh kedua-dua negara berkenaan.

Data pengeluaran beras global terkini menunjukkan bahawa India merupakan pengeluar beras terbesar dunia, manakala Pakistan berada di kedudukan ke-10.

Laporan data Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) bagi tahun 2024/2025 menyatakan India menghasilkan sekitar 147 juta tan metrik beras, menyumbang 27 peratus daripada pengeluaran global.

Ia sekali gus menjadikan India sebagai pengeluar beras terbesar, mengatasi China yang menghasilkan sekitar 145.28 juta tan metrik.

Pakistan pula menghasilkan kira-kira 10 juta tan metrik beras, menjadikannya pengeluar ke-10 terbesar di dunia. Walaupun jumlah pengeluarannya lebih kecil berbanding negara-negara lain, Pakistan terkenal sebagai pengeksport utama varieti beras Basmati, yang mempunyai nilai tinggi di pasaran antarabangsa.

Menyentuh mengenai kebimbangan gangguan bekalan berikutan konflik geoplolitik antara negara berkenaan, Arthur berkata, Malaysia mempunyai langkah dan kaedah tertentu untuk menjamin bekalan beras negara termasuklah diversifikasi sumber beras.

Artikel Berkaitan:

"Kita ambil (bekalan) daripada negara-negara yang lain untuk memastikan bahawa stok penimbal itu mesti ada untuk memenuhi keperluan beras negara.

"Jadi negara tidak terkesan dengan konflik geoplolitik," katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya beliau berkata, kerajaan tumpuan khusus dalam pelbagai aspek untuk meningkat produktiviti pengeluaran padi dan beras negara.

Antara usaha tersebut termasuklah dengan memperuntukan sebanyak RM1 bilion kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bagi Projek Pembangunan Infrastruktur Bagi Menyokong Program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun di kawasan Muda.

Pencapaian RMKe-12 membentuk hala tuju dasar RMKe-13 dengan menekankan pertanian dan agromakanan yang lebih moden, berdaya saing dan berteknologi tinggi. Ini adalah selaras dengan hasrat Kementerian Ekonomi agar RMKe-13 akan mengekalkan dasar berpaksikan industri berorientasi pertumbuhan tinggi, termasuk pertanian dan industri asas tani moden.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!