PKNS Selangor Masters 2025 tawar hadiah keseluruhan AS$200,000

Penganjuran Kejohanan PKNS Selangor Masters 2025 menerima tajaan beberapa anak syarikat kerajaan negeri Selangor.
Penganjuran Kejohanan PKNS Selangor Masters 2025 menerima tajaan beberapa anak syarikat kerajaan negeri Selangor.
A
A
A

PETALING JAYA - Kejohanan PKNS Selangor Masters 2025 selama empat hari bermula Rabu depan menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak AS$200,000.

Kejohanan berlangsung di Kelab Golf Seri Selangor itu bakal menjadi pembuka tirai musim Jelajah Pembangunan Asia (ADT) dan Jelajah Golf Profesional Malaysia (PGM).

Penganjuran memasuki edisi ke-12 itu bakal menghimpunkan 144 pemain berpengalaman serta sedang meningkat naik termasuk pemenang Order of Merit ADT 2024, Itthipat Buranatanyarat dari Thailand.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program tahunan itu merupakan sebahagian daripada kalendar Tahun Melawat Selangor pada tahun ini.

"Saya percaya PKNS Selangor Masters bakal menjadi sebahagian daripada acara yang akan menarik pelancong.

"Dengan kehadiran penonton selain tayangan perlawanan di peringkat antarabangsa seperti rangkaian berita akan menjadi sebahagian daripada tarikan pelancong sukan khususnya di Lembah Klang terutamanya di negeri Selangor," katanya pada sidang akhbar Kejohanan PKNS Selangor Masters dan Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa 2025 di sini pada Rabu.

Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa 2025 yang menghimpunkan 127 pemain daripada 14 negara bakal berlangsung bermula Khamis hingga Sabtu di lokasi sama.

Amirudin (dua dari kiri) bersama piala Kejohanan PKNS Selangor Masters 2025.
Amirudin (dua dari kiri) bersama piala Kejohanan PKNS Selangor Masters 2025.

Artikel Berkaitan:

Amirudin berkata, Selangor antara negeri menyediakan rangkaian padang golf selain mempunyai pemain-pemain berkaliber peringkat amatur mahupun profesional.

Ujarnya, kejohanan itu membuktikan Selangor bukan hanya ingin menganjurkan kejohanan peringkat antarabangsa tetapi turut menyediakan program pembangunan sukan golf.

"Melalui kejohanan peringkat remaja, kita akan dapat menyediakan pemain-pemain masa depan, di samping turut memberikan peluang kepada dua pemain terbaik junior untuk bermain di peringkat profesional.

"Kerajaan negeri turut memberi tawaran kepada pemain terbaik remaja Malaysia untuk ke Akademi Golf," katanya.

Ujar beliau, selama dua tahun berturut-turut kerajaan negeri dengan bantuan PKNS telah memperuntukkan RM200,000 bagi tujuan pembiayaan tersebut.

"Pada tahun hadapan kemungkinan ada permohonan untuk meningkatkan pembiayaan tawaran akademi disebabkan peningkatan penyertaan.

"Selain itu, kerajaan negeri turut bekerjasama dengan UUM (Universiti Utara Malaysia) sebagai contoh untuk mengaktifkan atau meningkatkan lagi latihan serta peluang karier sebagai pemain profesional," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!