Mangsa terselamat nahas rempuhan Honda Jazz masih trauma, menangis setiap malam

SEREMBAN - Hampir setiap malam, Mohammad Asraf Adha Mohd Hisham, 14, menangis apabila teringat kemalangan yang mengorbankan tiga nyawa termasuk abangnya di Jalan Persiaran Senawang 1, pada 6 Mac lalu.
Ibu mangsa, Haslinda Jupri, 44, berkata, anaknya itu telah dibenarkan keluar dari Hospital Tuanku Ja’afar namun keadaannya masih trauma.
Menurutnya, Mohammad Asraf Adha akan menangis apabila melihat gambar atau video arwah abangnya, Mohammad Aidil Ramdan, 15, yang disimpan dalam galeri telefon.
“Saya sentiasa berada di sisinya dan menjaganya semasa di hospital. Ada kala keadaannya baik, tetapi selalunya akan menangis bila teringatkan abangnya.
“Saya harap ada keadilan buat semua mangsa, lebih-lebih lagi saya telah kehilangan anak tersayang yang menjadi harapan keluarga,” katanya.
Dalam kejadian itu, Mohammad Asraf Adha cedera, manakala abangnya serta dua rakannya maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah Honda Jazz ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat.
Mohammad Aidil serta Muhammad Aswari Lotpi, 16, maut di lokasi kejadian, sementara Aisar Azim Abdullah, 17, meninggal dunia selepas empat hari menerima rawatan di HTJ.
Haslinda berkata, walaupun Mohammad Asraf Adha telah dibenarkan keluar hospital, dia masih menjalani rawatan susulan.
Haslinda turut memaklumkan bahawa ketika ini beliau masih bercuti daripada kerja kerana perlu menumpukan perhatian kepada penjagaan anaknya yang sedang menjalani fasa pemulihan.
“Majikan saya sudah bertanya bila saya boleh kembali bekerja, namun saya belum ada jawapan kerana anak masih perlukan penjagaan.
“Setiap hari saya perlu membersihkan luka dan menukar balutan itu bagi mengelakkan jangkitan,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, tertuduh telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban pada 22 April lalu dan kes tersebut masih dalam proses perbicaraan selepas remaja berusia 17 tahun itu membuat pengakuan tidak bersalah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah memandu secara berbahaya dan menyebabkan kematian tiga mangsa.
Mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000.
Bagi kesalahan kedua di bawah Seksyen 26(1) akta sama atas kesalahan memandu tanpa lesen, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang RM300 dan tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

