'Aidil sudah tiada, saya tidak akan maafkan pemandu Honda Jazz' - Ibu

SEREMBAN - Ibu kepada dua beradik yang salah seorangnya maut dalam kemalangan membabitkan Honda Jazz di Persiaran Senawang 1 di sini bukan saja tidak akan menerima maaf si pelaku, malah akan menuntut keadilan untuk anaknya.
Malah Haslinda Jupri, 44 mahu kesedihan yang membelenggu dirinya sekarang turut dirasai oleh keluarga si pelaku.
"Saya memang nak keadilan untuk anak saya. Tidak akan saya nak biarkan saja anak saya orang dah buat macam itu, seorang dah tiada.
"Saya tidak akan diam? Saya nak orang yang buat anak saya itu, rasa apa yang saya rasa," katanya ditemui pemberita di ruang parkir Hospital Tuanku Jaafar(HTJ) di sini pada Selasa.
Menurutnya, dia menerima banyak tawaran khidmat guaman daripada pelbagai pihak, namun masih belum membuat apa-apa keputusan.

Apa yang pastinya kata ibu tunggal terbabit, dia mahu keadilan buat kedua-dua anaknya.
Tambahnya, dua hari lalu ada seorang lelaki datang ke hospital mendakwa dia bapa kepada pemandu kereta Honda Jazz.
Bagaimanapun ujarnya, lelaki terbabit tidak datang untuk memohon maaf sebaliknya hanya memaklumkan mengenai itu.
"Saya cakap terus terang, bapa dia (Honda Jazz) ada datang dua hari lepas (Ahad). Dia cuma datang dan beritahu anaknya yang melanggar anak saya.
"Dia cakap macam itu saja. Minta maaf bagai itu tiada. Tiada seorang pun datang meminta maaf.
"Kalau dia datang minta maaf pun, saya tidak akan maafkan kerana anak saya dah tiada, melainkan anak saya boleh hidup kembali," katanya.
Dalam kejadian Khamis lalu, Haslinda kehilangan anak pertama iaitu Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15 manakala anak keduanya Muhammad Asraf Adha Abdullah, 14 sedang menerima rawatan di HTJ.

Sementara itu, ditanya keadaan Muhammad Asraf Adha yang sedang dirawat di HTJ, Haslinda berkata, anaknya itu sudah stabil tetapi masih belum dibenarkan keluar dari hospital kerana perlu menjalani satu lagi pembedahan bagi memasukkan besi pada pahanya.
Jelasnya lagi, dia juga beritahu dapat mengingati dengan jelas kejadian berlaku dan reda atas kehilangan abangnya.
"Alhamdulillah dia selamat, cuma patah kaki dan dah stabil tapi masih belum boleh keluar kerana doktor beritahu yang pahanya perlu dibedah untuk dimasukkan besi.
"Anak saya juga tahu yang abangnya dah tiada. Dia kata dia reda. Tapi budak-budak, dia asyik tengok video kemalangan itu, saya cakap jangan tengok," katanya.
Selain itu, Haslinda mengakui yang dia bimbang berkenaan kos rawatan anaknya kerana mereka bukan orang senang, selain dia hanya bekerja sebagai tukang masak.
Ketika ini katanya, dia terpaksa mengambil cuti buat sementara kerana perlu menguruskan anak.
"Masa kejadian itu, saya tengah kerja dan dapat panggilan kata anak saya kemalangan.
"Sebelum itu arwah ada beritahu mahu pinjam motosikal kerana nak pergi rumah nenek. Dia kata, 'hari ini abang pinjam motosikal, selepas ini abang tak pinjam dah, mama simpanlah kunci itu.
"Saya tak tahu pula mereka pergi ke Senawang. Kalau saya tahu, saya memang tidak akan bagi kunci motosikal... tapi benda nak jadi," katanya.
Terdahulu, Haslinda menerima kunjungan dan sumbangan daripada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Khalidah Omar dan pertubuhan bukan kerajaan(NGO) Briged Negaraku di HTJ.
Sementara itu, Presiden Briged Negaraku, Khairul Nizam Mohd Sopery berkata, pihaknya bukan saja akan membantu khidmat guaman kepada Haslinda tetapi juga kepada mangsa lain yang terlibat.
"Kita akan pastikan tidak akan satu pun yang tertinggal kerana kita tahu mereka tidak pengalaman.
"Tapi saya nak ingatkan kepada ibu mangsa, buat masa ini kita fokus dahulu terhadap rawatan anak yang masih hidup, selepas itu baru kita fikirkan mengenai urusan peguam dan sebagainya," katanya.
Sebelum ini media melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, Muhammad Aidil Ramdan maut di lokasi manakala Muhammad Asraf Adha cedera selepas motosikal berasingan dinaiki mereka dikatakan dikatakan dirempuh sebuah kereta jenis Honda Jazz.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din dilaporkan berkata, Honda Jazz tersebut dipandu seorang lelaki berusia 18 tahun yang tidak mempunyai lesen memandu.
Katanya, kenderaan itu dikatakan gagal berhenti di lampu isyarat merah sebelum dipercayai merempuh dua motosikal dinaiki empat remaja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

