Seorang daripada tiga ibu mangsa rempuhan Honda Jazz alami kemurungan

Muhammad Yusry. Laporan Sinar Harian mengenai ketiga-tiga ibu mangsa nekad berjuang habis-habisan menuntut keadilan buat anak mereka.
Muhammad Yusry. Laporan Sinar Harian mengenai ketiga-tiga ibu mangsa nekad berjuang habis-habisan menuntut keadilan buat anak mereka.
A
A
A

SEREMBAN – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan memberikan khidmat kaunseling dan sokongan psikologi kepada keluarga mangsa kemalangan maut membabitkan sebuah kereta Honda Jazz di Senawang, Khamis lalu.

Pengarah JKM Negeri Sembilan, Muhammad Yusry Che Daz berkata, pihaknya mendapati salah seorang ibu mangsa mengalami simptom kemurungan akibat tragedi itu.

"Pegawai JKM terdiri daripada kaunselor, pegawai psikologi serta pasukan pelindung kanak-kanak Seremban telah membuat lawatan ke rumah keluarga mangsa bagi memberi sokongan psikologi.

"Kita dapati ibu kepada salah seorang mangsa sangat terkesan dan telah meminta anaknya untuk memantau keadaan ibunya yang kurang stabil," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, JKM akan melakukan pemantauan secara berkala bagi memastikan keluarga terlibat dapat mengatasi kesedihan dan meneruskan kehidupan harian seperti biasa.

Beliau turut memaklumkan bahawa dua daripada keluarga mangsa merupakan penerima bantuan bulanan daripada JKM.

Sebelum ini, media melaporkan dua remaja, Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, dan pemboncengnya, Muhammad Aswari Lotpi, 16, maut di tempat kejadian selepas motosikal mereka dirempuh sebuah Honda Jazz yang melanggar lampu isyarat merah.

Seorang lagi mangsa, Aisar Azim Abdullah, 17, yang menunggang motosikal lain, meninggal dunia selepas lima hari menerima rawatan di hospital.

Honda Jazz tersebut dipercayai dipandu seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang tidak memiliki lesen memandu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!