Pemandu Honda Jazz sebabkan kematian 3 remaja bakal didakwa dalam masa terdekat

SEREMBAN - Pemandu Honda Jazz yang disyaki melanggar lampu isyarat merah sehingga mengakibatkan tiga remaja maut di Persiaran Senawang, di sini, 6 Mac lalu, masih dirawat di hospital.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintenden Muhammad Zaki Ramat berkata, pemandu berusia 18 tahun berkenaan dijangka akan dibenarkan keluar dari wad dalam masa terdekat.
"Kami masih belum berkesempatan ambil keterangan pemandu Honda Jazz terbabit kerana dia masih dirawat di hospital.
"Sebaik saja dia dibenarkan keluar nanti, kami akan jalankan siasatan untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Menurutnya, ia termasuk cuba mendapatkan arahan tuduh di mahkamah dengan segera.
Tambahnya, ibu kepada pemandu berkenaan sudah pun dituduh di mahkamah sebelum ini, namun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membenarkan anak memandu tanpa lesen.
Media sebelum ini melaporkan dua pelajar lelaki berusia 15 dan 16 tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh kereta Honda Jazz terbabit yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah dalam kejadian 8.30 malam.
Empat hari kemudian, seorang lagi mangsa yang parah dalam kejadian itu meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

