Ops Taring Gelora: PPM rampas 22 bubu naga

TANJUNG KARANG - Hasil maklumat yang disalurkan nelayan tempatan mendedahkan aktiviti menangkap ikan secara haram menggunakan bubu naga di perairan 2.8 hingga 2.1 batu nautika dari Bagan Tengkorak di sini, pada Ahad.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, laporan diterima pihaknya kira-kira jam 8.30 pagi sebelum menggerakkan anggota menerusi Op Taring Gelora.

"Sepasukan anggota PPM telah ke lokasi dan menjumpai lima tanda yang disyaki digunakan untuk menandakan pukat jenis bubu naga.
"Pemantauan telah dilakukan kira-kira satu jam, namun tiada pemilik hadir ke lokasi sebelum tindakan rampasan dibuat untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, rampasan melibatkan 22 bubu naga bernilai RM2,200 untuk tindakan mengikut Akta Perikanan 1985 dan kes telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Perikanan Negeri Selangor.

Sementara itu, dalam kes berlainan, PPM merampas 18 set bubu udang dan ketam bernilai RM900 di perairan Kuala Perlis, Perlis, pada Ahad.
Kata Rusley, dua lelaki disyaki warga Thailand menaiki bot telah melarikan diri selepas melihat kehadiran anggota bot peronda PPM.
"Suspek dilihat mencampakkan objek dan pemeriksaan di lokasi menemui peralatan menangkap ikan dikenali bubu udang atau ketam," ujarnya.
Untuk info, bubu naga diharamkan penggunaannya berikutan mampu memerangkap serta mengancam hidupan laut yang lebih kecil termasuk benih udang selain merosakkan ekosistem dasar laut negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
