Indonesia serah semula bot nelayan tempatan hanyut ke Bengkalis

Bot milik nelayan tempatan yang hanyut ke perairan Pulau Bengkalis, Indonesia minggu lalu diserahkan kepada Maritim Malaysia. Foto Maritim Malaysia
Bot milik nelayan tempatan yang hanyut ke perairan Pulau Bengkalis, Indonesia minggu lalu diserahkan kepada Maritim Malaysia. Foto Maritim Malaysia
A
A
A

MUAR - Bot milik nelayan tempatan yang hanyut ke perairan Pulau Bengkalis, Indonesia pada minggu lalu, diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada Selasa.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, bot tersebut telah diserahkan oleh dua wakil pegawai Polis Republik Indonesia (POLRI) pada kedudukan 17 batu nautika barat daya Parit Jawa di sini, pada jam 2 petang.

Menurut beliau, bot nelayan tersebut telah dibaik pulih dan diiringi POLRI sebelum diserahkan kepada Maritim Malaysia.

"Semua urusan bagi membawa pulang bot tersebut telah diselesaikan Selasa dan diserahkan kepada wakil Maritim Malaysia yang diketuai oleh Leftenan Maritim Mohd Hairulnizam Abdul Razak.

"Turut serta Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Muar, Norhakim Simon.

“Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada POLRI yang membantu dalam operasi penyerahan ini," ujarnya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan dua orang nelayan tempatan dan sebuah bot hilang di perairan Muar ketika keluar memancing pada 7 Januari lalu.

Bot yang dilaporkan hanyut itu mengalami kerosakan enjin sebelum dihanyutkan arus sehingga memasuki perairan Indonesia.

Artikel Berkaitan:

Dua nelayan tempatan berkenaan ialah Asamadi Omar, 55 dan Zulkefli Mad, 46, ditemui selamat dan telah pulang ke negara ini pada Jumaat lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!