Pasang GPS, ubah lokasi taktik nelayan guna bubu naga

Sebanyak kira-kira 350 bubu naga bernilai anggaran RM53,000 dirampas sepanjang operasi yang dijalankan dalam tempoh 36 jam bermula Jumaat lepas. Foto: Maritim Malaysia
Sebanyak kira-kira 350 bubu naga bernilai anggaran RM53,000 dirampas sepanjang operasi yang dijalankan dalam tempoh 36 jam bermula Jumaat lepas. Foto: Maritim Malaysia
A
A
A

KUALA KEDAH - [DIKEMAS KINI] Mengubah lokasi dan memasang alat peranti sistem kedudukan sejagat (GPS) pada bubu naga antara taktik nelayan dalam penggunaan kaedah penangkapan ikan yang diharamkan.

Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, antara taktik lain yang dikesan termasuk meletakkan pelampung sebagai penanda kepada penggunaan alatan larangan itu.

Anggota bot ronda Maritim Malaysia menemui pelbagai taktik penyamaran yang digunakan nelayan bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Foto: Maritim Malaysia
Anggota bot ronda Maritim Malaysia menemui pelbagai taktik penyamaran yang digunakan nelayan bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Foto: Maritim Malaysia

Menurutnya, anggota bot ronda Maritim Malaysia menemui pelbagai taktik penyamaran yang digunakan bagi mengaburi mata pihak berkuasa sepanjang operasi khas rampasan bubu naga yang dijalankan dalam tempoh 36 jam bermula Jumaat lepas.

"Kita mengesan antara taktik yang digunakan adalah dengan mengubah lokasi semasa pemasangan bubu naga dan meletakkan pelampung penanda seperti botol, pancang kayu, gabus putih atau peranti GPS pada setiap bubu naga yang berukuran kira-kira 10 meter panjang itu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Bubu naga yang dirampas oleh anggota Maritim Malaysia ketika melaksanakan operasi di perairan negara berdekatan Kuala Kedah. Foto: Maritim Malaysia
Bubu naga yang dirampas oleh anggota Maritim Malaysia ketika melaksanakan operasi di perairan negara berdekatan Kuala Kedah. Foto: Maritim Malaysia

Jelas beliau, dalam operasi terbabit, sebanyak 350 set bubu naga atau bubu kambang berjaya dirampas bernilai anggaran RM53,000.

Menurut Noor Azreyanti, operasi ini merupakan hasil pemantauan yang dilaksanakan di beberapa lokasi di sepanjang perairan Kuala Kangkong sehingga ke Kuala Kedah.

Artikel Berkaitan:

Seorang anggota Maritim Malaysia mengesan kedudukan bubu naga yang diharamkan penggunaannya. Foto: Maritim Malaysia
Seorang anggota Maritim Malaysia mengesan kedudukan bubu naga yang diharamkan penggunaannya. Foto: Maritim Malaysia

Menurutnya, kesemua bubu naga yang dirampas dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.

"Pihak Zon Maritim Kuala Kedah turut mengalu-alukan orang ramai bagi melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui talian 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579," katanya.

Difahamkan, bubu naga diharamkan penggunaannya berikutan kaedah menangkap ikan itu mampu memerangkap serta mengancam hidupan laut yang lebih kecil selain merosakkan ekosistem dasar laut negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!