Op Taring Landai Khas rampas pelbagai mercun, bunga api

JOHOR BAHRU – Pelbagai jenis mercun dan bunga api dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menerusi Op Taring Landai Khas sempena Tahun Baharu Cina di Muar dan Mersing pada Isnin.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, dua serbuan berasingan tersebut dilakukan selepas mendapat maklumat risikan berkenaan penjualan mercun dan bunga api tiada kebenaran daripada pihak berkuasa.
“Menerusi serbuan pertama jam 4.30 petang, sepasukan polis dari Unit Risik Markas Operasi PPM Wilayah Dua Muar dibantu Pasukan Siasatan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia PDRM melakukan serbuan di Kawasan Perindustrian Parit Hulu, Jalan Bakri, Muar.
"Hasil pemeriksaan yang dijalankan dengan disaksikan penjaga premis iaitu seorang lelaki warga tempatan telah menjumpai pelbagai jenis mercun dan bunga api iaitu 319 kotak yang dianggarkan bernilai RM503,665.
"Lelaki berusia 40 tahun itu ditahan kerana gagal mengemukakan lesen yang sah berhubung pemilikan bahan letupan dan barang kes itu," katanya dalam kenyataan pada malam Rabu.
Menurut beliau, serbuan kedua dibuat jam 10.30 malam Isnin, ketika sepasukan polis dari Markas Taktikal PPM Wilayah Dua Mersing sedang menjalankan tugas pemantauan sebelum mengesan pergerakan sebuah Toyota Vios berwarna putih dipandu dalam keadaan yang mencurigakan.
Katanya, pasukan serbuan berjaya menahan kereta yang dipandu seorang lelaki warga tempatan di kawasan Taman Desa Sri Endau, Mersing.
Jelasnya, hasil pemeriksaan ke atas kereta itu menjumpai pelbagai jenis mercun serta bunga api yang disembunyikan di bahagian tempat duduk belakang dan but kereta.
"Lelaki berusia 24 tahun ditahan kerana gagal mengemukakan lesen yang sah berhubung pemilikan bahan letupan dan barang kes dirampas untuk siasatan lanjut.
"Ketika proses dokumentasi sedang dilakukan di Pejabat Markas Taktikal PPM Wilayah Dua Mersing, tangkapan telah beberapa kali cuba memberikan wang suapan berjumlah RM2,500 kepada pasukan operasi bagi mengelakkan dari diambil tindakan undang-undang walaupun amaran telah diberikan," katanya.
Menurut Kumar, kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki bahan letupan manakala suspek yang turut ditahan akibat cuba memberi sogokan kepada polis akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.
Pada masa sama, Kumar berkata, pihaknya terus komited dalam membanteras serta memastikan kegiatan penyeludupan atau penjualan mercun dan bunga api yang tidak memiliki kebenaran daripada pihak berkuasa ini dihentikan kerana boleh menjejaskan ekonomi negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

