Tergores dengar 'kau bukan anak aku lagi', lelaki tembak mati ibu

JAKARTA - Seorang pelajar institusi pengajian tinggi, Gusmadi Wiranata, 23, menembak mati ibunya, Hely Febriyanti, 50, selepas berlaku pertengkaran di kediaman mereka di Desa Bangun Rejo, Mukim Belitang II, Daerah OKU Timur, pada Khamis.
Mangsa, seorang penjawat awam yang bertugas di Pusat Kesihatan Masyarakat (Puskesmas) Purwodadi, meninggal dunia akibat tembakan pada paha kanan yang menyebabkan pendarahan teruk.
Suspek, yang juga anak kandung mangsa, telah ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.
Dalam keterangannya kepada pihak berkuasa, Gusmadi mengakui bahawa pertengkaran itu berpunca daripada konflik peribadi berpanjangan antara dia dan ibunya.
“Ibu cakap, ‘Jangan anggap aku ibu kamu lagi, aku bukan ibu kamu lagi.’ Saya sangat tergores dan hilang kawalan,” katanya dengan nada perlahan di hadapan penyiasat pada Jumaat.
Selepas pertengkaran itu, suspek masuk ke bilik ayahnya untuk menguruskan beberapa dokumen di dalam peti besi, dan ketika itulah dia mengambil sepucuk pistol milik bapanya, yang merupakan Ketua Kampung di kawasan itu.
Dengan emosi yang tidak stabil, Gusmadi kembali mendapatkan ibunya dan melepaskan satu das tembakan ke arah paha kanan mangsa.
Tembakan itu menyebabkan pendarahan yang teruk dan akhirnya meragut nyawa wanita berkenaan.
“Saya sangat menyesal. Sepatutnya saya yang mati. Saya selalu bertengkar dengan ibu. Ibu juga sering bertelingkah dengan ayah,” ujar Gusmadi sambil tunduk.
Selepas kejadian, suspek melarikan diri ke bahagian belakang rumah dan membuang senjata api itu ke kawasan berhampiran kolam.
Senjata tersebut kemudian dijumpai pihak polis semasa pemeriksaan kawasan.
Ketua Polis Daerah OKU Timur, Superintenden Kevin Leleury, mengesahkan tangkapan ke atas suspek dan berkata, kes akan disiasat mengikut undang-undang sedia ada.
“Suspek telah ditahan dan siasatan lanjut sedang dijalankan, termasuk mengenai pemilikan senjata api yang digunakan, dipercayai milik bapanya,” katanya.
Gusmadi merupakan pelajar tahun akhir semester lapan di Universiti Subang dan masih bujang.
Kini, dia berdepan proses undang-undang atas perbuatan yang telah mengorbankan nyawa ibunya sendiri.- Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!