Polis tembak mati penculik tuntut tebusan RM2 juta

KLANG - [DIKEMAS KINI] Polis menembak mati seorang lelaki warga tempatan di Jalan Bayu Tinggi, Bandar Bukit Tinggi, di sini pada awal pagi Isnin yang dipercayai terlibat dengan kes culik di Avenue Seremban, Negeri Sembilan pada Khamis.
Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek telah menculik seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dan meminta wang tebusan berjumlah RM2 juta.
Kata beliau, pihak keluarga telah membayar sebanyak RM280,000 dan memberikan barangan kemas kepada suspek.
"Pada Jumaat jam 8.30 malam, mangsa telah dibebaskan oleh suspek di Nusari Bayu Sendayan, Seremban 2, Negeri Sembilan.

"Pihak polis berjaya mengesan sebuah kereta jenis Proton Wira di Jalan Bayu Tinggi, Bandar Bukit Tinggi, Klang, Selangor pada Isnin jam 4.15 pagi.
"Semasa polis cuba menahan kereta tersebut, suspek telah merempuh kenderaan polis dan bertindak melepaskan diri," katanya pada Isnin.
Menurut beliau, polis mengejar dan dapat memintas kenderaan suspek, seterusnya berlaku tembak menembak.
Katanya, suspek yang berusia 21 tahun dan tiada mempunyai rekod jenayah telah berjaya ditembak mati.
Kata beliau, polis turut merampas sepucuk pistol semi auto Colt dan parang daripada suspek.

Susulan kejadian tembak itu, beliau berkata, pihak polis turut membuat tangkapan melibatkan tiga lelaki dan tiga wanita di sekitar di Jalan Tiara Sendayan, Negeri Sembilan.
Menurutnya, kesemua yang ditahan berusia 20 hingga 31 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!