Seksa hadap lumpur, bau busuk!

KUALA SELANGOR – "Ini bukan banjir biasa, tetapi membawa sekali lumpur tebal dan berbau." Itu luahan salah seorang penduduk Taman Saujana Aman , Mohd Fariq Khairy, 41, selepas benteng berhampiran taman itu pecah sehingga menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan perumahan berkenaan.
Menurutnya, kejadian pada Rabu lalu bukan sahaja mengakibatkan air melimpah masuk ke ruang tamu dan dapur rumahnya, malah meninggalkan kesan lumpur yang tebal serta sukar dibersihkan.
“Apabila banjir surut, lumpur memenuhi rumah dan baunya amat tidak menyenangkan hingga kami terpaksa menggunakan jet air tekanan tinggi untuk mencucinya,” katanya ketika ditemui pada Jumaat.
Mohd Fariq yang tinggal bersama isterinya berkata, kejadian seumpama itu bukan lagi luar biasa, sebaliknya telah menjadi kebiasaan setiap kali hujan lebat melanda.
“Kami bukan sahaja takut banjir, tetapi lumpur yang dibawa bersama itu amat menyusahkan kerana jika tidak dibersihkan segera, ia boleh melekat dan merosakkan lantai,” jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Muhd Syafiq Suhaimi, 32, berkongsi detik cemas isterinya yang tidak sempat mengalihkan kenderaan semasa air mula melimpah sekitar jam 12.30 tengah hari pada Rabu lalu.
“Waktu itu saya sedang berniaga ayam goreng di Kota Puteri, tapi tiba-tiba saya terima mesej dalam kumpulan WhatsApp taman yang memaklumkan ban berhampiran pecah dan air dari sungai mula naik ke jalan.
“Saya segera hubungi isteri supaya alihkan kereta, tetapi air terlalu tinggi, namun sebaik sampai di rumah, saya terus naikkan barang dan bantu alih kenderaan,” katanya.
Tambahnya, meskipun baru setahun lebih menetap di taman itu, kediamannya sudah tiga kali dilanda banjir termasuk satu insiden yang menyebabkan kerosakan peralatan rumah akibat lumpur dan air kotor.
“Semasa banjir kedua, air masuk hingga ke dapur dan merosakkan mesin basuh serta kabinet,” ujarnya.
Bagi seorang lagi penduduk, Suryati Mohammad Saing, 47, keadaan menjadi lebih serius kerana kedudukan rumah di taman itu dibina pada paras sama dengan sungai dan jalan besar.
“Sepatutnya pelan struktur binaan perumahan lebih tinggi dan bukannya sama paras dengan sungai.
“Apabila ada projek baharu pula dibina lebih tinggi, kesannya kembali kepada kami yang tinggal di sini,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Taman Saujana Aman, Mohamad Rizuan Sulaiman berkata, masalah banjir di kawasan perumahan itu semakin kerap berlaku sejak tahun 2021 dengan tahap impak yang semakin membimbangkan.
Menurutnya, taman tersebut terletak berhampiran Sungai Desa Aman, iaitu cabang kepada Sungai Selangor yang sering melimpah setiap kali hujan lebat dan tidak mampu menampung kapasiti air.
Beliau memaklumkan aduan telah dikemukakan kepada Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO), namun sehingga kini masih belum ada penyelesaian konkrit.
“Paras sungai akan meningkat setiap kali hujan lebat, lebih-lebih lagi apabila terdapat kerja-kerja penyelenggaraan atau projek pembangunan baharu di kawasan berhampiran,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!