Bau busuk bongkar penemuan dua mayat dipercayai dibunuh

NAAZRON
NAAZRON
A
A
A

KAJANG – Bau busuk dari sebuah rumah di Semenyih membawa kepada penemuan mayat seorang wanita dan anak saudaranya dipercayai akibat dibunuh pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun pada jam 8.43 malam, berhubung bau tidak menyenangkan yang datang dari rumah kakaknya.

"Siasatan awal mendapati kakak pengadu berusia 53 tahun yang tinggal bersama anak saudara lelaki berumur 25 tahun sudah hampir 10 hari tidak kelihatan di kawasan berkenaan.

"Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kemudian membantu memecah masuk pintu rumah terbabit sebelum dua mayat ditemui terbaring di atas lantai ruang tamu dalam keadaan sudah meninggal dunia," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, pemeriksaan di dalam rumah tidak menemui sebarang kesan geledah dan keadaan rumah didapati berkunci dari dalam.

"Polis turut merampas beberapa barang kes untuk siasatan lanjut.

"Setakat ini tiada tangkapan dibuat, namun keterangan ahli keluarga dan saksi-saksi akan direkodkan," katanya.

Menurutnya, motif kejadian masih dalam siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas (suffocation)," katanya.

Naazron berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan R Umesh di talian 012-6114900," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!