'Seksa hadap kesesakan jalan Kuala Pilah'

Masalah jalan yang sentiasa sesak membelenggu penduduk.
Masalah jalan yang sentiasa sesak membelenggu penduduk.
A
A
A

KUALA PILAH - kesesakan teruk di Jalan Kuala Pilah-Seremban mengakibatkan seorang pembantu kedai terpaksa memilih tinggal di asrama selepas menyambung persekolahan Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Agama Dato’ Klana Petra Maamor tahun lalu.

Damia Salsabila Mohd Halim, 20, berkata, jalan itu menjadi laluannya untuk pergi dan pulang dari sekolah setiap minggu.

Dia yang merupakan anak kedua daripada enam beradik berkata, selepas tinggal di asrama, jalan yang sesak itu tetap terpaksa diharunginya setiap kali pulang ke rumah pada Jumaat.

“Biasa kalau balik sekolah jam 12 tengah hari, jalan memang sudah sibuk. Kalau ikutkan perjalanan hanya setengah jam tapi kerana jalan sesak mengambil masa lebih sejam dan pernah juga sampai dua jam.

“Disebabkan itu, saya memilih tinggal di asrama kerana telah disediakan kemudahan, dapat jimat masa selain tidak sanggup berulang-alik meredah kesesakan setiap hari,” katanya kepada Sinar Harian.

Dia yang baru berpindah ke Kuala Pilah dari Damansara dua tahun lalu juga mengakui kesesakan di laluan berkenaan menyebabkannya menghadapi kejutan budaya.

Keadaan Jalan Kuala Pilah-Seremban yang sesak dengan kenderaan pada Ahad lalu.
Keadaan Jalan Kuala Pilah-Seremban yang sesak dengan kenderaan pada Ahad lalu.

Artikel Berkaitan:

“Memang di Damansara lagi teruk sesaknya tapi ada beberapa jalan alternatif boleh digunakan. Kalau ada kecemasan boleh guna laluan bertol atau jalan-jalan lain.

“Namun di Kuala Pilah ini, hanya itulah satu-satunya jalan untuk ke Seremban. Penduduk setempat biasanya akan guna jalan dalam tapi tetap akhirnya akan tembus jalan utama di sini juga,” katanya.

Justeru, dia yang sedang menunggu panggilan sambung belajar mencadangkan agar sistem jejambat dilaksanakan di laluan tersebut yang bukan hanya memudahkan penduduk setempat tetapi juga pengguna luar yang menggunakan jalan tersebut sebagai akses ke Pantai Timur, Muadzam Shah dan Segamat.

Seorang lagi penduduk, Rabiatul Adawiyah Mohd Faisal, 20, berkata, terdapat beberapa faktor berlaku kesesakan di laluan itu, antaranya terdapat gerai menjual itik salai di tepi jalan, kawasan riadah Ulu Bendul serta persimpangan lampu isyarat di Bukit Putus.

Katanya, kesesakan juga disebabkan kenderaan keluar masuk di persimpangan lampu isyarat hingga menyebabkan trafik di laluan utama bergerak perlahan.

“Kebanyakan penduduk setempat akan guna jalan dalam tapi sekarang jalan itu pun jadi sibuk apabila ramai yang sudah tahu akses tersebut.

“Ramai kata jalan sesak sebab itik salai berniaga tepi jalan, ada kereta berhenti dan perlahankan kenderaan.

“Ada yang minta peniaga dipindahkan ke lokasi lain tapi bimbang ganggu periuk nasi mereka pula. Kuala Pilah tidak banyak peluang kerja, sebab itu ramai yang berniaga sebagai punca rezeki,” ujarnya.

Sebagai penyelesaian katanya, sudah tiada pilihan kerajaan perlu mempunyai perancangan untuk membina Jalan Kuala Pilah-Seremban kedua, bagi mengatasi masalah berkenaan untuk jangka masa panjang.

“Mungkin sistem jejambat boleh diperluaskan ke sini dan orang yang nak masuk keluar simpang tak perlu nak tempuh sesak bersama kenderaan lain yang mahu teruskan perjalanan ke Kuala Pilah-Seremban,” ujarnya.

Syor bina jalan alternatif

Sementara itu, penjual itik salai menafikan masalah kesesakan di laluan itu berpunca daripada operasi perniagaan mereka di jalan tersebut.

Mohamad Saiful Nizam Jahaluddin, 39, berkata, isu kesesakan trafik bukan hanya dihadapi di kawasan berkenaan sebaliknya menjadi isu nasional yang turut melanda seluruh negara termasuk di Pulau Pinang, negeri Pantai Timur, Lebuhraya Karak dan lain-lain.

“Isu jalan sesak ini disebabkan jumlah kenderaan yang banyak. Kita bukan negara yang kuat kuasa undang-undang kereta lebih lima tahun perlu dilupuskan, malah kereta era 1960-an pun masih ada atas jalan,” katanya.

Menurutnya, peredaran zaman juga menyebabkan kereta kini bukan lagi lambang kemewahan sebaliknya merupakan satu keperluan apabila setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya satu kenderaan.

“Bukan hanya di laluan utama ini tetapi di persimpangan Seri Menanti pun sangkut juga tapi kawasan itu tidak dipersoalkan kerana tiada peniaga tepi jalan.

“Kami berniaga sampai jam 6 petang sahaja, tapi kenapa sampai malam jalan masih sesak juga?” soalnya.

Anak jati Kuala Pilah itu berkata, dia menyokong jalan itu dinaik taraf melalui penambahan lorong dari satu lorong kepada dua hingga tiga lorong namun usaha berkenaan juga dilihat tidak menyelesaikan sepenuhnya masalah kesesakan jika isu pokok tidak diambil tindakan sewajarnya.

“Saya sokong cadangan lebarkan jalan, tapi perlu juga ada penyelesaian peringkat nasional melalui langkah kawalan kenderaan atas jalan.

“Untuk jangka masa panjang, perlu naik taraf jalan ini bagi menampung kenderaan yang datang bukan hanya dari Kuala Pilah sahaja.

“Bina jalan alternatif lebih baik, memandangkan laluan ini juga akses ke Pantai Timur (Kelantan, Terengganu), Segamat (Johor), Muadzam Shah (Pahang), kemudian bertembung kenderaan keluar simpang Seri Menanti masuk ke jalan utama ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!