Dakwaan tutup kelas sains tulen demi GPS perlu pengesahan - Pakar

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Wujud dakwaan sesetengah sekolah bertindak menutup kelas aliran sains tulen semata-mata mahu meningkatkan Gred Purata Sekolah (GPS).
Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, dakwaan tersebut perlu dipastikan kesahihannya kerana ia dikhuatiri akan mengagalkan agenda dan aspirasi negara jika dibiarkan.
"Apakah ini benar, tutup kelas aliran sains tulen untuk tingkatkan GPS? Saya hanya mahukan kepastian.
"Jika benar-benar berlaku, ini tidak boleh dibiarkan," katanya menerusi laman Facebook pada Khamis.
Anuar berkata demikian sebagai maklum balas terhadap komen netizan di hantaran Facebooknya.
Individu tersebut membangkitkan isu kebolehpasaran pasca Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mempersoalkan kelayakan pelajar dalam memenuhi pengajian Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Ini kerana, dakwa individu tersebut, terdapat pihak sekolah bertindak menutup aliran sains tulen dan digantikan dengan pakej sastera demi mengejar GPS.
Sementara itu, Anuar dalam hantara berasingan mempersoalkan sama ada Malaysia bersedia atau tidak untuk menjadi negara berteknologi tinggi susulan jumlah calon yang mengambil mata pelajaran fizik, kimia dan biologi masih pada trend yang sama sejak tiga tahun lalu.
Katanya, daripada 402,918 calon SPM 2024 hanya 91,510 (22.7 peratus) mengambil subjek fizik, 92,282 (22.9 peratus) kimia dan 71,533 (17.7 peratus) biologi.
"Sejak tiga tahun lalu, trend yang sama sahaja. Keputusan SPM untuk mata pelajaran fizik menunjukkan 14,184 (15.5 peratus) mendapat gred rendah iaitu D,E dan G.
"Bagi SPM untuk mata pelajaran kimia, 27,184 (29.7 peratus) mendapat gred D,E dan G manakala bagi SPM mata pelajaran biologi, seramai 13,948 (19.5 peratus) mendapat gred D,E dan G.
"Gred kelayakan minima untuk masuk ke jurusan sains dan teknologi di institusi pengajian tinggi (IPT) ialah gred C. Maksudnya, bagi mereka yang mendapat gred D, E dan G, secara langsung tidak layak untuk dipertimbangkan," ulasnya.
Menurut Anuar, ini belum lagi mengambil kira yang akan gagal di peringkat IPT dan ada antara mereka mengambil keputusan menukar bidang pengajian ke aliran sastera.
Beliau berkata, sedangkan graduan sains ini sebahagiannya akan menjadi doktor, jurutera, pensyarah, ahli sains, ahli farmasi atau bioteknologis.
"Berapa lagi yang tinggal untuk menjadi guna tenaga berkemahiran tinggi dalam sektor teknologi termaju, robotik, digital, semi konduktor, Ai dan sebagainya?
"Semakin banyak syarikat luar melabur, semakin ramai tenaga mahir diperlukan. Kalau anak-anak tempatan tak cukup, terpaksalah pelabur jemput pekerja luar negara yang berkemahiran tinggi untuk bekerja di negara ini," ulasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

