Isu Jalur Gemilang: Jangan ulangi kesalahan sama - Menteri

Aaron menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak Pemerkasaan Pendidikan 2025 di George Town pada Isnin.
Aaron menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak Pemerkasaan Pendidikan 2025 di George Town pada Isnin.
A
A
A

GEORGE TOWN - Kesalahan paparan Jalur Gemilang tidak lengkap tidak sepatutnya berlaku dan ia perlu dipastikan agar kesalahan sama tidak akan berulang pada masa akan datang.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, tindakan tersebut hanya akan mengganggu keharmonian negara yang sudah dipupuk sejak dahulu lagi.

"Kesalahan mengenai paparan Jalur Gemilang ini amat dikesali dan saya pun tidak mahu ulas panjang kerana tujuh kementerian telah pun mengambil tindakan terhadap isu ini.

"Saya menyifatkan kesalahan ini adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kerana sudah berapa lama negara telah menggunakan bendera yang sama.

"Oleh itu, semua pihak harus memastikan agar kesalahan seperti ini tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sidang Kemuncak Pemerkasaan Pendidikan 2025 di sini pada Isnin.

Tambah beliau, paparan imej Jalur Gemilang perlu disemak dan dipastikan betul sebelum dikeluarkan untuk tatapan umum.

Mengulas mengenai sama ada permohonan maaf yang dibuat pihak terlibat sudah memadai, Aaron berkata, adalah menjadi amalan setiap kesalahan perlu disusuli dengan permohonan maaf.

Artikel Berkaitan:

"Mereka yang terlibat tidak mempunyai pilihan lain melainkan memohon maaf terhadap kesalahan yang mereka lakukan. Saya rasa, ia adalah tindakan paling tepat untuk mereka lakukan iaitu memohon maaf.

"Bagaimanapun, ia terpulang kepada kuasa prerogatif sesebuah agensi terlibat sama ada untuk mengambil tindakan selanjutnya atau sebaliknya," katanya.

Beliau turut menasihatkan semua pihak agar tidak melakukan perkara yang boleh mengganggu gugat keharmonian negara kita.

"Jangan buat perkara yang boleh mengganggu keharmonian negara, yang kita mahu hanyalah keamanan dan perpaduan.

"Kita mahukan rakyat bersatu kerana itu akan membawa kemakmuran dan pembangunan ekonomi. Kita hidup dalam sebuah negara yang aman, itulah yang kita inginkan. Jangan sesekali mencemari atau memperlekehkan Jalur Gemilang," tambahnya.

Selasa lalu, akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia namun gambar bendera tersebut tidak lengkap.

Berikutan itu, akhbar berkenaan tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa ia adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.

Selain akhbar tersebut, sebuah syarikat makanan bayi dari Singapura yang turut serta dalam pameran produk bayi di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur memohon maaf kerana memuat naik video memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit.

Singapore Lactation Bakes (SLB) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengakui betapa penting Jalur Gemilang sebagai lambang identiti, warisan dan perpaduan negara.

Dalam pada itu, Aaron berkata, Kementerian Perpaduan kini sedang melaksanakan kajian kali ketiga Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) bagi menilai tahap perpaduan rakyat Malaysia.

"Kita pernah buat dua kali, ini kali ketiga. Indeks sekarang sederhana, lebih kurang 0.6. Kita sasarkan 0.7 yang menunjukkan tahap perpaduan yang selamat.

"Kajian ini dijalankan oleh sekumpulan profesor dari universiti tempatan dan cara pengiraan adalah melalui kaedah tinjauan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!