Sudah ada Jalur Gemilang di baju, jangan salah bendera lagi!

Merak Jalanan seronok melihat murid-murid sekolah berbaris pada pagi Isnin lalu. Lengkap beruniform dengan baju putih yang kemas, rambut disikat rapi dan tangan tegap di sisi.
Lebih menarik, bermula hari itu, ada satu tambahan kecil ke atas baju sekolah iaitu pelajar wajib memakai lencana Jalur Gemilang di dada mereka.
Arahan baharu ini datang menerusi surat pekeliling di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Tujuannya bukan sekadar hiasan, tapi untuk menyemai rasa cinta terhadap negara dan memperkukuh semangat patriotik sejak kecil.
Merak Jalanan masih ingat, waktu kecil-kecil dulu, kalau dapat menampal pelekat Jalur Gemilang di basikal pun sudah rasa bangga bukan main. Bila tiba waktu perbarisan di sekolah, siap berdiri tegak bersemangat menyanyikan lagu Negaraku, lagu kebangsaan negara kita.
Tapi Merak Jalanan tidak nafikan, apabila kita meningkat dewasa, semangat seperti itu semakin kurang, mungkin kerana kesibukan bekerja atau tidak ada peluang untuk menyertai perhimpunan seperti di sekolah.
Sebab itu Merak Jalanan suka inisiatif diambil KPM untuk tanam semangat sayangkan negara sejak dari bangku sekolah. Dengan adanya lencana kecil ini, sekurang-kurangnya murid-murid tahu dan kenal bendera negara mereka sendiri.
Tak adalah nanti jadi macam sesetengah individu yang tersilap guna bendera lain semasa nak tunjuk semangat patriotik di media sosial. Memalukan.
Bagi Merak Jalanan, lencana itu mungkin nampak kecil, tapi maknanya besar. Ia mengingatkan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia.
Semoga dengan usaha KPM ini akan sematkan semangat patriotik dalam kalangan anak-anak kita. Bukan setakat mengibarkan Jalur Gemilang pada hari kebangsaan sahaja, malah setiap masa bangga membawa imej negara kita sehingga ke peringkat lebih tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!