Dasar ekonomi domestik masih terkawal meskipun konflik luar bergolak - Anwar

Anwar (tengah) beramah mesra bersama para pelajar pada Majlis Berbuka Puasa Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi di Kompleks Seri Perdana pada Sabtu. Foto: Bernama
Anwar (tengah) beramah mesra bersama para pelajar pada Majlis Berbuka Puasa Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi di Kompleks Seri Perdana pada Sabtu. Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan masih mempunyai ruang mengawal dasar ekonomi domestik, termasuk memastikan suasana politik yang aman dan stabil bagi meningkatkan keyakinan pelabur, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, ini memandangkan selain aspek keyakinan pelabur, kestabilan sedemikian turut mempengaruhi faktor penting lain.

"Jadi (ini mempengaruhi) peningkatan pelaburan, pekerjaan bertambah dan inflasi terkawal," kata Anwar pada sesi santai bersama pelajar dan mahasiswa pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama warga Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Kompleks Seri Perdana di sini malam ini.

Perdana Menteri berkata, demikian sebagai mengulas kebimbangan terhadap situasi terkini di rantau Timur Tengah susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran pada Sabtu.

Memperincikan selanjutnya Anwar berkata, terdapat faktor yang berada dalam serta di luar kawalan kerajaan.

"Sebahagiannya di bawah kawalan kita dan sebahagiannya tidak. Contoh seperti harga barang...barang yang kita keluarkan di peringkat tempatan, harganya boleh dikawal. (Namun) kalau barang yang kita import seperti makanan haiwan, banyak yang diimport dari luar negara seperti Ukraine, Rusia dan Eropah.

"Tapi kini, dengan sekatan oleh Yaman dan Laut Merah, perjalanan (penghantaran barangan) naik dua kali ganda, maknanya harga pengangkutan bertambah dan harga barang naik. Itu isunya...sebab itu kita berdoa agar keamanan kembali dan krisis ini (berakhir) segera," kata beliau.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga menggesa agar kalangan pegawai di semua kementerian sentiasa peka dan bertindak mengikuti perkembangan makroekonomi semasa bagi memastikan setiap keputusan dibuat tidak menjejaskan pihak berkepentingan seperti rakyat.

Beliau berkata, ini memandangkan pemahaman mengenai perkembangan ekonomi amat penting berikutan setiap dasar dan perbelanjaan mempunyai implikasi tersendiri, termasuk terhadap defisit negara serta percukaian.

Artikel Berkaitan:

"Saya minta pegawai kanan juga ikuti perkembangan makroekonomi supaya apabila ada perkara yang dituntut, mereka tahu kesannya. Ini soal mengurus ekonomi.

"Perkembangan ekonomi itu untuk kita faham. Kalau kita beri sahaja (semua perkara yang dituntut) tanpa melihat kesannya kepada defisit, maknanya cukai terpaksa dinaikkan. Apabila kena cukai, orang akan marah," kata Anwar. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Kerajaan masih ada ruang untuk mengawal dasar ekonomi domestik menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
  • Suasana politik yang aman dan stabil penting untuk meningkatkan keyakinan pelabur
  • Kestabilan politik dan ekonomi memberi kesan kepada peningkatan pelaburan, pekerjaan dan inflasi yang terkawal
  • Terdapat faktor dalam dan luar kawalan kerajaan yang mempengaruhi harga barang
  • Perdana Menteri menggesa pegawai kementerian peka terhadap perkembangan makroekonomi untuk elakkan kesan negatif terhadap rakyat dan negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!