Implikasi besar duti solar AS

KUALA LUMPUR - Tarif import yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap panel solar dari Malaysia bukan sahaja mengurangkan daya saing syarikat tempatan dalam rantaian global malah menyumbang kepada penyusutan eksport dan potensi kerugian hasil negara.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Shahino Mah Abdullah berkata, keadaan ini menimbulkan kebimbangan bahawa Malaysia mungkin dilihat kurang menarik bagi pelabur asing yang ingin menjadikan negara ini sebagai hab pengeluar global.
Menurutnya, syarikat kecil dan sederhana serta syarikat pemula yang bergantung kepada pasaran eksport boleh terjejas teruk sekali gus menyebabkan pengurangan peluang pekerjaan dan pelaburan teknologi.
“Selain itu, sekatan terhadap produk tenaga boleh diperbaharui berpotensi melemahkan usaha global dalam menangani perubahan iklim.
“Apabila industri solar Malaysia tergugat, ia akan menjejaskan pencapaian sasaran SDG 7 (Tenaga Mampu Milik dan Bersih) dan SDG 13 (Tindakan Iklim) negara yang sedang komited terhadap pembangunan lestari,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, AS mengenakan cukai import tambahan dan subsidi terhadap produk solar yang dieksport dari Malaysia, Kemboja, Thailand dan Vietnam selepas mendapati syarikat-syarikat di negara tersebut menerima bantuan kewangan daripada China.
Beliau bagaimanapun berpendapat, Malaysia boleh membuat rundingan dua hala dengan AS dengan menggunakan platform Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) untuk membincangkan isu tarif secara adil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
