AS kenakan cukai import tambahan terhadap produk solar Malaysia

Amerika Syarikat (AS) mengenakan cukai import tambahan dan subsidi terhadap produk solar yang dieksport dari Malaysia, Kemboja, Thailand dan Vietnam selepas mendapati syarikat-syarikat di negara tersebut menerima bantuan kewangan daripada China.
Amerika Syarikat (AS) mengenakan cukai import tambahan dan subsidi terhadap produk solar yang dieksport dari Malaysia, Kemboja, Thailand dan Vietnam selepas mendapati syarikat-syarikat di negara tersebut menerima bantuan kewangan daripada China.
A
A
A

SHAH ALAM – Amerika Syarikat (AS) mengenakan cukai import tambahan dan subsidi terhadap produk solar yang dieksport dari Malaysia, Kemboja, Thailand dan Vietnam selepas mendapati syarikat-syarikat di negara tersebut menerima bantuan kewangan daripada China.

Memetik laporan The Edge, Malaysia dikenakan kadar cukai paling rendah iaitu 8.59 peratus manakala beberapa syarikat tempatan pula dikenakan kadar setinggi 81.24 peratus kerana gagal memberikan kerjasama penuh dalam siasatan.

Siasatan turut mendapati wujudnya subsidi rentas negara apabila syarikat pengeluar di negara-negara Asia Tenggara itu menerima sokongan kewangan daripada kerajaan China.

“Ini merupakan antara siasatan cukai subsidi terawal yang mana jabatan membuat dapatan jelas bahawa syarikat-syarikat menerima subsidi rentas negara,” menurut kenyataan daripada Jabatan Perdagangan AS.

Langkah tersebut diambil susulan aduan yang difailkan tahun lalu oleh American Alliance for Solar Manufacturing Trade Committee yang menuduh pengeluar China mengalihkan operasi ke Asia Tenggara bagi mengelak cukai sedia ada.

Selain itu, kumpulan berkenaan juga mendakwa pengeluar China mengambil jalan pintas dengan menghantar produk solar ke AS melalui kilang di Kemboja, Malaysia, Thailand dan Vietnam bagi mengelak dikenakan tarif secara langsung.

Hasil siasatan menunjukkan Malaysia mengeksport produk solar bernilai RM8.76 billion atau A$1.9 bilion ke AS pada tahun 2023 dan purata subsidi diterima oleh pengeluar di negara itu dianggarkan sebanyak 34.41 peratus.

Cukai baharu tersebut turut melibatkan panel solar, sama ada yang telah siap dipasang menjadi modul atau belum dengan Vietnam dikenakan kadar tertinggi iaitu 271.28 peratus, diikuti Kemboja sebanyak 125.37 peratus sementara Thailand menerima 111.45 peratus.

Pelaksanaan rasmi terhadap cukai import itu bagaimanapun masih tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Perdagangan Antarabangsa AS yang dijangka diumumkan pada atau sebelum 2 Jun 2025.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya tersebut akan menentukan sama ada industri tempatan AS benar-benar mengalami kerugian akibat kemasukan produk solar dari Asia Tenggara.

Jika didapati berlaku kerugian, cukai berkenaan akan dikuatkuasakan secara rasmi dan mungkin dikenakan kepada penghantaran terdahulu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!