Tarif AS: Surat Pemberitahuan Sidang Khas Dewan Rakyat mula diedar

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan ketika sidang media mingguan Kabinet di Kementerian Komunikasi pada Rabu. Foto Bernama
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan ketika sidang media mingguan Kabinet di Kementerian Komunikasi pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Surat Pemberitahuan Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membincangkan isu tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS) telah dihantar kepada Ahli Parlimen bermula Rabu.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sidang khas itu akan bermula dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ia diikuti sesi perbahasan yang akan menyaksikan kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang menyampaikan pandangan mereka sebelum ia digulung oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Kementerian Kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet di sini.

Anwar pada Selasa mengesahkan Sidang Khas Dewan Rakyat diadakan bagi membincangkan isu tarif timbal balas AS terhadap negara ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berlepas ke Washington pada Khamis untuk mengadakan pertemuan dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), Jamieson, serta beberapa pegawai kerajaan lain yang berkaitan bagi membincangkan cadangan tarif berkenaan.

Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus dikenakan terhadap Malaysia dan beberapa negara dagangnya mengikut kadar masing-masing.

Bagaimanapun, keputusan tersebut ditangguhkan selama 90 hari ke atas tarif timbal balik terhadap lebih 75 negara rakan dagang termasuk Malaysia kecuali China.

Sementara itu, ditanya mengenai jangkaan hasil lawatan Tengku Zafrul ke Washington, Fahmi menjelaskan ia perlu menanti laporan ke Kabinet usai tamat lawatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Perdana Menteri memaklumkan Menteri MITI dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berada di Washington dan beberapa hari ini mereka akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari AS bagi membincangkan perkara tersebut.

"Kita tidak boleh jangkakan apa yang akan diumumkan (kelak), perlu tunggu sehingga mereka pulang dan melaporkan kepada Jemaah Menteri," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!