Pengajaran kes pukul viral: Jangan mudah percaya kenalan media sosial

AKHIRNYA ‘Bella’ dan tujuh lelaki yang membelasah seorang pemuda di Johor sudah ditahan polis. Kes ini kecoh di media sosial.
Dalam kejadian di kawasan perumahan pangsapuri Plentong Baru Masai itu, mangsa pada mulanya dijemput oleh kenalan wanita menerusi media sosial.
Takkan tak rasa pelik. Baru seminggu kenal tiba-tiba ajak datang rumah. Katanya tak sihat, temankan tidur.
Mangsa berusia 21 tahun bekerja sebagai operator sebuah kilang Kluang. Datang seorang. Malam-malam.
Sampai di sana, dia dipukuI hingga mengalami kecederaan di bibir, telinga kiri dan bengkak badan. Mangsa turut diminta bayar wang sebanyak RM3,000. Motosikal milik mangsa turut dirampas.
Pemuda itu juga terpaksa menerima sembilan jahitan, tiga pada bibir kanan dan enam di telinga kiri.
Kesemua suspek direman selama enam hari sehingga 26 April bagi membantu siasatan.
Lima yang ditahan memiliki rekod kes jenayah dan penyalahgunaan dadah. Empat daripada mereka juga positif dadah jenis methamphetamine.
Nasib baik Merak Jalanan bukan orang Johor, memang malu nak mengaku mereka ini orang Johor. Tak semenggah. Buat malu orang tua.
Merak Jalanan tak faham apa dia orang fikir masa pukul lelaki itu. Siap rakam. Ini serangan terancang. Wanita jadi umpan. Mangsa pun satu, jenis tak fikir panjang.
Kejadian ini satu pengajaran penting kepada orang ramai terutamanya pengguna media sosial.
Kalau ada orang tak dikenali ajak datang rumah, jangan pergi. Kena lebih berhati-hati dengan orang yang baru kenal dalam talian. Mungkin ada udang di sebalik batu. Kena berhati-hati.
Maaf cakap, Merak Jalanan langsung tak simpati dengan kes ini sama ada yang kena pukul atau yang memukul.
Sebab semuanya sama. Semua akal pendek. Akhirnya dapat bahagian masing-masing. Padan muka!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!