Pemuda dipukul setengah mati kerana wanita

JOHOR BAHRU - Tular di media sosial beberapa rakaman video memaparkan seorang pemuda dipukul beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki dalam kejadian yang dipercayai berlaku di Pasir Gudang, di sini.
Video dalam tempoh antara satu ke dua minit menunjukkan mangsa kelihatan lemah dan tidak melawan, dipukul bertubi-tubi oleh kira-kira lima hingga tujuh individu.
Sekumpulan remaja lelaki itu menggunakan tangan dan kaki selain turut ditumbuk di bahagian muka, dada dan anggota badan lain.
Lebih menyayat hati, salah satu video memaparkan alat sulit mangsa turut menjadi sasaran apabila dipukul dan ditendang kumpulan terbabit.
Mangsa yang dalam keadaan longlai dilihat meronta-ronta menahan kesakitan dengan hidungnya turut kelihatan berdarah.
Kejadian berkenaan mengundang kecaman warganet yang rata-ratanya meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera mengambil tindakan terhadap kumpulan lelaki terbabit yang berlagak samseng.
Difahamkan, kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan seorang wanita sebelum wanita berkenaan bertindak memanggil rakan-rakannya untuk membelasah mangsa.
Menerusi komen yang ditinggalkan di media sosial, wanita berkenaan disyaki individu yang merakam insiden berkenaan sebelum ia tular di pelbagai platform.
Setakat ini, Sinar Harian sedang berusaha mendapatkan maklum balas rasmi daripada pihak polis berhubung kejadian tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!