'Pertama kali nak jumpa, ‘Bella’ minta datang rumah teman tidur sebelum saya dibelasah'

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Niat seorang lelaki untuk menemani wanita dikenalinya di TikTok berakhir dengan mimpi ngeri apabila dia dipukul teruk dan kehilangan motosikal dalam kejadian yang tular baru-baru ini.
Rakaman video kejadian menyentuh hati ramai pihak selepas memaparkan mangsa dipukul sekumpulan lelaki di dalam sebuah rumah.
Pempengaruh dan penyanyi rap, Ariz Ramli atau Caprice, yang dihubungi mangsa berkongsi temu bualnya menerusi Instagram pada Selasa.
Menurut mangsa, dia mengenali wanita terbabit di TikTok, selepas seminggu berkenalan sebelum berpindah ke aplikasi WhatsApp.

“Puncanya, saya baru berkenalan dengan seorang wanita di TikTok dan ketika itu kami baru pertama kali berjumpa.
“Selepas seminggu berkenalan di TikTok, kami mula chat di platform WhatsApp pula. Menerusi WhatsApp dia minta saya temankan dia tidur di rumah kerana tidak sihat.
“Saya berikan pelbagai alasan termasuk tiada duit untuk mengisi minyak motosikal. Dia kata tidak mengapa, dia berikan duit minyak asalkan saya ke sana,” katanya.
Lelaki tersebut mendakwa individu yang memukulnya itu tiba-tiba muncul.
Jelasnya, sebaik tiba di rumah wanita itu, dia terus dibawa ke tingkat atas.
“Saya baru buka kasut, tiga hingga empat orang lelaki masuk dari pintu depan. Motifnya saya tidak tahu tetapi selepas dipukul, mereka minta duit RM3,000.
“Mereka minta RM3,000 tetapi saya hanya ada RM600. Jadi, saya berikan RM600 dan selebihnya, mereka ambil motosikal saya. Sekarang motosikal saya dengan mereka,” ujarnya.
Sementara itu, Caprice turut menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya mempercayai kenalan baharu di media sosial.
“Sama ada dia jemput datang ke rumah, hati-hati. Walaupun kita sebagai lelaki mungkin menerima ‘layanan percuma’.
“Senang cerita, jangan mudah percayakan orang,” nasihatnya.
Rata-rata netizen memuji tindakan Caprice yang menasihati lelaki berkenaan supaya lebih berhati-hati pada masa akan datang.
Sebelum ini, tular sebuah video yang menunjukkan seorang lelaki dipukul oleh beberapa individu sehingga timbul khabar angin mengatakan mangsa sudah meninggal dunia.
Difahamkan, mangsa yang menerima enam jahitan pada telinga kiri, selain bengkak pada dada dan belakang badan, telah membuat laporan polis.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, tujuh lelaki dan seorang wanita yang dikenali sebagai ‘Bella’ ditahan bagi membantu siasatan berhubung video tular yang memaparkan seorang pemuda dibelasah beramai-ramai baru-baru ini.
Menurutnya, kesemua suspek berusia 19 hingga 26 tahun diberkas semalam selepas laporan dibuat oleh mangsa kelmarin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!