Ketua pembantu tadbir sekolah tak mengaku salah buat tuntutan palsu lebih RM100,000

JOHOR BAHRU - Seorang ketua pembantu tadbir di sebuah sekolah menengah di Pontian, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas 10 pertuduhan membuat tuntutan palsu pembekalan barangan cetakan bagi modul latih tubi berjumlah lebih RM100,000.
Tertuduh, Mohd Khairul Md Khalid, 42, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Kamal Ariffin Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan dokumen palsu berupa invois antara RM1,170 hingga RM7,920, kononnya bagi pembekalan modul Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) kepada pelajar sekolah berkenaan, sedangkan pembekalan itu tidak pernah dilaksanakan.
Perbuatan itu dipercayai dilakukan antara 1 Mei 2021 hingga 10 Disember 2022 di sekolah tempat tertuduh bertugas
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai butiran palsu atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas 20 pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana menggunakan dokumen tulen yang diketahuinya palsu, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rais Adha Ramli manakala tertuduh diwakili peguam Awang Armadjaya Awang Mahmud.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM14,000 dengan dua penjamin dan diperintahkan melapor diri di ibu pejabat SPRM setiap bulan.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes adalah pada 23 Jun depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!