Op C4i: SPRM tahan enam individu buat tuntutan palsu RM15 juta

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman enam individu termasuk seorang pengarah syarikat, ketua pegawai kewangan (CFO) dan dua pegawai polis dalam Op C4i kerana disyaki terlibat tuntutan palsu bernilai RM15 juta.
Menurut sumber, tuntutan palsu itu dibuat bagi urusan perolehan kontrak perkhidmatan penyelenggaraan Sistem Command & Control, Communication & Computer Integration (C4i).
Sumber berkata, suspek terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30 dan 50-an telah ditahan sekitar jam 8 malam pada Rabu ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

"Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2022 hingga 2025 dengan bersubahat mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM15 juta.
"Bagaimanapun, sebahagian daripada kerja-kerja komponen di bahagian khidmat sokongan tidak dilaksanakan seperti kehendak kontrak.
"Nilai projek C4i keseluruhannya dianggarkan bernilai RM70 juta yang diberikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan diuruskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya pada Khamis.
Menurut sumber lagi, penggeledahan telah dilakukan di 15 lokasi termasuk di KDN dan beberapa buah syarikat di sekitar Johor, Selangor, Putrajaya serta Kuala Lumpur.
Susulan itu katanya, SPRM menyita empat unit kenderaan mewah kira-kira RM1.3 juta, selain membekukan 51 akaun bank melibatkan 30 akaun individu dan 21 akaun perniagaan milik 10 syarikat yang keseluruhannya bernilai RM3.5 juta.

“Menerusi operasi yang dijalankan dengan kerjasama PDRM itu, SPRM turut merampas wang tunai kira-kira RM9,000, AS$388, Riyal 2,340, Qar 1,789, Dirham 15,055 dan KZT 21,219 serta sembilan unit telefon bimbit," ujarnya.
Sinar Harian difahamkan, perintah reman selama tujuh hari sehingga Rabu telah dikeluarkan Majistret Muhammad Fadzlan Mohd Noor.
Reman dibuat selepas permohonan dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis.
Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan di bawah Seksyen 4(1) Salah Guna Harta dan Pengubahan Wang Haram (AMLA).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!