Kontraktor mengaku tidak bersalah kemuka dokumen palsu

Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada JPS Tangkak tiga tahun lalu.
Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada JPS Tangkak tiga tahun lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Tangkak tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Safri Ibrahim, 46, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertindak sebagai ejen sebuah syarikat didakwa dengan niat untuk mengelirukan prinsipal dengan mengemukakan penyata bank bertarikh Disember 2021 hingga Februari 2022 atas nama syarikat terbabit.

Dokumen itu didakwa digunakan sebagai dorongan untuk mendapatkan kerja membaik pulih jalan ladang di Jalan Parit Timin, Kampung Paya Kepong, Tangkak yang mengandungi butiran matan palsu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat JPS Daerah Tangkak antara 7 Mac hingga 13 Mei 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai butiran palsu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Dalam prosiding sama, Mohd Safri turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu dengan curangnya menggunakan dokumen tulen iaitu penyata bank atas nama syarikat sama yang diketahui atau dipercayai sebagai palsu.

Artikel Berkaitan:

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Fatin Nur Athirah Zainudin manakala tertuduh diwakili peguam B Puvarasan.

Pihak pendakwa mencadangkan jaminan RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan, namun peguam memohon jumlah minimum memandangkan anak guamnya mempunyai tanggungan tiga anak berusia empat, 10 dan 13 tahun yang masih bersekolah serta menjaga ibu yang uzur.

Hakim kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan, tertuduh perlu melapor diri ke Ibu Pejabat SPRM Johor sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 22 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!